Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Jumlah perdagangan bagi bulan Disember 2024 meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada $1,942.0 juta, berbanding November 2024. Peningkatan itu adalah disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,155.4 juta dan import berjumlah $786.6 juta.
Penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 72.7 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 25.2 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 1.1 peratus.
Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media berhubung Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Disember 2024, hari ini.
Pasaran eksport utama adalah Australia sebanyak 22.1 peratus, diikuti oleh Singapura dan Republik Rakyat China, masing-masing sebanyak 16.5 peratus dan 15.3 peratus.
Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.

Manakala, import pada bulan Disember 2024 bernilai $786.6 juta. Tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 59.9 peratus, diikuti jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 17.4 peratus dan makanan sebanyak 8.8 peratus.
Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 40.4 peratus, diikuti Emiriah Arab Bersatu sebanyak 13.6 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 6.8 peratus. Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah bahan api galian, jentera dan kelengkapan pengangkutan dan juga makanan.
Berbanding November 2024, imbangan perdagangan pada Disember 2024 menurun sebanyak 14.1 peratus, didorong oleh peningkatan import sebanyak 8.6 peratus.
Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai pemprosesan barangan perantaraan sebanyak 61.1 peratus, diikuti oleh barangan modal bagi operasi perniagaan sebanyak 34.7 peratus dan barangan penggunaan bagi kegunaan isi rumah sebanyak 4.2 peratus.
Bagi keseluruhan tahun 2024, nilai jumlah perdagangan adalah sebanyak $24,786.0 juta, iaitu meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding $24,772.6 juta pada tahun 2023.
Laporan IMTS bagi bulan Disember 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.