Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan Kanada dengan AS menurun

    OTTAWA, 4 JULAI – Perdagangan Kanada dengan negara jirannya, Amerika Syarikat (AS) telah menunjukkan kemerosotan pada bulan Mei susulan perang tarif yang dilancarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, menurut agensi statistik negara itu kelmarin.

    Namun, Kanada berjaya menampung sebahagian kekurangan itu dengan peningkatan penghantaran ke negara-negara lain.

    Ketika eksport ke AS jatuh untuk bulan keempat berturut-turut, penghantaran ke negara lain meningkat ke ‘paras tertinggi dalam rekod’, menurut statistik Kanada.

    Hasilnya, bahagian eksport Kanada ke AS telah menurun daripada purata bulanan 75.9 peratus kepada 68.3 peratus.

    Agensi tersebut menyifatkan perkara itu sebagai ‘salah satu nisbah terendah dalam rekod’.
    Import dari AS juga menurun untuk bulan ketiga berturut-turut, menurut laporan itu.

    Justeru itu, lebihan perdagangan Kanada dengan AS meningkat sedikit kepada CAN$3.2 bilion.

    Kerajaan Liberal, Perdana Menteri Mark Carney dan pentadbiran Trump kini sedang mengadakan rundingan intensif untuk mencapai perjanjian yang dapat mengelakkan tarif yang semakin meningkat.

    Trump telah mengenakan tarif tinggi terhadap import kenderaan serta besi dan aluminium iaitu dua logam yang biasanya dihantar Kanada dalam jumlah besar ke AS.

    Carney turut menetapkan tarikh akhir 21 Julai untuk perjanjian perdagangan baharu.

    Tanpa perjanjian itu, beliau berkata Kanada akan menyesuaikan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas besi dan aluminium AS, sebagai tindak balas kepada kenaikan cukai AS kepada 50 peratus ke atas logam-logam tersebut. – AFP

    Mark Carney semasa mengadakan sidang akhbar penutup selepas Sidang Kemuncak NATO di The Hague, Belanda, pada 25 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda