KUALA LUMPUR, 9 OKT – Malaysia bersedia untuk terus kekal sebagai rakan dagang terbesar Poland di ASEAN tahun ini, di sebalik kesuraman ekonomi global kesan pandemik COVID-19, kata Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Debnicki.
Beliau berkata pada separuh pertama 2020, Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Poland (selepas Vietnam) di rantau ini, dengan perdagangan dua hala berjumlah AS$579 juta.
“Pada 2019, Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar Poland di ASEAN (selepas Vietnam) dan nilai perdagangan dua hala mencecah lebih AS$1.2 bilion.”
“Pada separuh pertama 2020, perdagangan barangan antara Poland-Malaysia merosot hanya sekitar lima peratus, meskipun ketika pandemik COVID-19 dan eksport Malaysia ke Poland sebenarnya meningkat lebih satu peratus sepanjang tempoh ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di kedutaan, baru-baru ini.
Eksport utama Poland ke Malaysia terdiri pelbagai jenis mesin dan jentera seperti turbin, barangan elektronik untuk pemprosesan data dan telekomunikasi, aloi tembaga dan peralatan makmal.
Sementara itu, import utama Poland dari Malaysia termasuk peralatan elektrik dan elektronik, sarung tangan getah dan alat ganti mesin.
Debnicki berkata pandemik menyebabkan sekurang-kurangnya dua pelaburan Poland di Malaysia tertangguh.
“Kami melakukan sedaya yang mungkin, dalam keadaan seperti ini, untuk memastikan perniagaan Poland berminat menjalankan urus niaga dengan Malaysia dan mempromosikan perniagaan Poland di Malaysia. Tetapi hasilnya tetap bergantung kepada keadaan dan syarikat,” katanya. – Bernama