Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan Mei 2024 catat peningkatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Jumlah perdagangan bulan Mei 2024 meningkat sebanyak 37.4 peratus kepada $2,393.6 juta, berbanding bulan Mei 2023.

    Ia disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,382.1 juta dan nilai import sebanyak $1,011.5 juta.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan kelmarin, telah mengongsikan penyumbang utama kepada nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 76.8 peratus, diikuti oleh bahan kimia sebanyak 21.5 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 0.8 peratus.

    Manakala pasaran eksport utama adalah Australia sebanyak 23.6 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China dan Singapura masing-masing sebanyak 19.7 peratus dan 12.4 peratus, sementara komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian.

    Bagi import pada bulan Mei 2024 bernilai $1,011.5 juta, dan tiga komoditi import utama adalah bahan api galian, menyumbang sebanyak 75.4 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 8.3 peratus dan makanan sebanyak 6.3 peratus.

    Secara keseluruhannya, imbangan perdagangan menurun sebanyak 9.7 peratus dan ia didorong oleh peningkatan import yang lebih tinggi sebanyak 52 peratus berbanding peningkatan eksport sebanyak 28.4 peratus.

    Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan sebanyak 61.8 peratus, diikuti oleh barangan modal sebanyak 35.5 peratus bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan sebanyak 2.7 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Mei 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    Taburan eksport mengikut rakan dagangan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda