Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan MEI meningkat dari Tahun lalu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $2,846.3 juta pada Mei 2022, iaitu peningkatan sebanyak 48.7 peratus daripada $1,913.9 juta pada bulan yang sama 2021, manakala bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi Mei 2022 menurun sebanyak 5.7 peratus berbanding dengan April 2022.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, jumlah eksport meningkat sebanyak 51.9 peratus kepada $1,749.4 juta pada Mei 2022 berbanding $1,151.8 juta pada Mei 2021.

    Ini terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,362.5 juta pada Mei 2022 daripada $840.8 juta pada Mei 2021. Di samping itu juga, eksport bahan kimia meningkat kepada $360.1 juta pada Mei 2022 daripada $227.2 juta pada Mei 2021.

    Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum. Peningkatan eksport minyak mentah dan LNG terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga purata.

    Pada Mei 2022, harga purata minyak mentah telah meningkat sebanyak 69.5 peratus kepada AS$118.56 setong daripada AS$69.96 setong pada Mei 2021. Manakala bagi LNG, ia telah meningkat sebanyak 58.6 peratus kepada AS$12.70 per MMBtu pada Mei 2022 daripada AS$8.01 per MMBtu pada Mei 2021.

    Bagi eksport produk petroleum, ia telah mencatatkan peningkatan kepada $707.4 juta daripada $400.1 juta berbanding Mei 2021, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 77.9 peratus, diikuti dengan bahan-bahan kimia iaitu 20.6 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.4 peratus.

    Pasaran eksport utama pada Mei 2022 adalah Australia dengan 19.8 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China dengan 19.1 peratus dan Singapura 15 peratus. Komoditi eksport terbesar ke negara Australia dan Singapura adalah bahan api galian, manakala ke negara Republik Rakyat China adalah bahan-bahan kimia.

    Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,096.9 juta pada Mei 2022 daripada $762.1 juta pada Mei 2021 terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.

    Lima komoditi import utama pada bulan itu adalah bahan api galian dengan 62.5 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 10.2 peratus, bahan-bahan kimia iaitu 8.2 peratus, bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan iaitu 6.0 peratus serta makanan iaitu 5.7 peratus. Kebanyakan import negara iaitu sebanyak 59.2 peratus adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan diikuti oleh barangan modal iaitu 37.4 peratus bagi ope-rasi perniagaan dan Barangan Penggunaan iaitu 3.4 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Daripada segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia dengan 30.4 peratus, diikuti oleh Kazakhstan dengan 14.7 peratus dan Arab Saudi 13.3 peratus dengan komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Mengikut mod pengangkutan, pada Mei 2022, peratus yang tertinggi bagi kedua-dua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,719.3 juta atau 95.5 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara iaitu $98.7 juta atau 3.5 peratus dan melalui darat iaitu $28.3 juta atau 1 peratus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda