KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Perdagangan antara Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) untuk kerjasama ekonomi dijangka mencecah AS$500 bilion menjelang tahun 2030 daripada AS$150 bilion yang dicatatkan pada 2022, melalui ekonomi kreatif dan program pusat kewangan (CEFC) D-8, kata Setiausaha Agung D-8, Isiaka Abdulqadir Imam.
Negara D-8 terdiri daripada Malaysia, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.
“Program CEFC adalah salah satu instrumen untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi supaya kita dapat mencapai sasaran sebelum 2030,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program CEFC hari ini.
Program D-8 CEFC adalah inisiatif persendirian yang dicadangkan pada 2018.
Pengerusi Kumpulan Al Hidayah (AHG), Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata beberapa siri perbincangan telah dibuat oleh kumpulan itu mengenai konsep program di peringkat menteri serta Sidang Kemuncak D8 untuk memastikan ekosistem tersebut mempunyai kelestarian.
AHG adalah platform untuk mempromosikan kerjasama berasaskan Syariah dalam pembangunan perniagaan Islam dalam kalangan negara D-8, setakat ini AHG telah membina infrastruktur dan terus melakukannya secara berperingkat termasuk menubuhkan Yayasan D8 Malaysia yang beroperasi sejak 2020. – Bernama