BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 30.5 peratus pada bulan Oktober 2023 berbanding bulan September 2023.
Peningkatan tersebut adalah disebabkan oleh peningkatan kedua-dua nilai eksport dan import sebanyak 8 peratus dan 70 peratus masing-masing, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Oktober 2023, yang dikeluarkan hari ini.
Eksport pada bulan Oktober 2023 bernilai $1,584.7 juta yang mana bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu sebanyak 79.5 peratus, diikuti oleh bahan kimia (18.6 peratus), dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (1 peratus).
Lima komoditi import utama pada bulan Oktober 2023 adalah bahan api galian (80.1 peratus), diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (7.7 peratus), makanan (4.2 peratus), barang-barang keluaran kilang (2.7 peratus), dan bahan kimia (2.4 peratus).
Pasaran eksport utama pada bulan Oktober 2023 adalah Australia (27.9 peratus), diikuti oleh Singapura (26 peratus) dan Republik Rakyat China (18.4 peratus). Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian dan bahan kimia.

Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia (32.6 peratus), diikuti oleh Republik Rakyat China (11.2 peratus) dan Australia (9.2 peratus), dengan bahan api galian sebagai komoditi import terbesar.
Sebanyak 60.9 peratus import adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan, diikuti oleh barangan modal (37.1 peratus) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (2 peratus) bagi kegunaan isi rumah.
Sebanyak 95.6 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut. Ia diikuti oleh pengangkutan udara (3.5 peratus) dan melalui darat (0.9 peratus).
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, jumlah perdagangan adalah sebanyak $20,726.3 juta yang terdiri daripada eksport bernilai $12,224.3 juta dan import berjumlah $8,502.0 juta, yang mana mencatatkan jumlah perdagangan yang berlebihan sebanyak $3,722.3 juta.
Laporan IMTS bagi bulan Oktober 2023 boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

