ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
BERSAHABAT biar ramai dan bercinta biar satu merupakan antara ungkapan yang sering diperkatakan.
Namun dalam sesebuah persahabatan yang terjalin baik itu ada kalanya keruh akibat beberapa faktor seperti dengki, perebutan dan sebagainya.
Dengan itu, pengarah, Heykal Hanifah dan penulis skrip, Farhana Fauri telah bekerjasama untuk menerbitkan sebuah siri drama terbaru berjudul Cinta Fatamorgana di bawah terbitan Luqsar Kreatif Sdn Bhd.
Siri drama tersebut menampilkan Aeril Zafrel, Azar Azmi, Syazuwan Hassan dan Nazeera Sardi sebagai pelakon utama.
Di samping itu, ia turut dibintangi oleh Norman Hakim, Faezah Elai, Rusdi Ramli, Emelda Rosmila, Dayana Roza, Asry Azizan, Mak Wan, Linda Rafar, Syuhaida Abraz (Dottie), Julia Farhana Marin, Rais Ismail dan Nelissa Edreena.

Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai persahabatan di antara Rifqi lakonan Aeril Zafrel, Huzair lakonan Syazuwan Hassan dan Wildad lakonan Azar Azmi.
Hubungan Rifqi dan Huzair sangat rapat. Rifqi sangat terhutang budi dengan Deraman lakonan Norman Hakim dan Puan Habibah lakonan Linda Rafar yang mengganggap Rifqi seperti anak mereka sendiri.
Malah Rifqi turut tinggal bersama-sama keluarga Huzair setelah kematian bapanya yang telah banyak berjasa kepada keluarga Huzair.
Dalam diam, Wildad dan Rifqi saling jatuh cinta namun terhalang kerana Huzair turut menyintai Wildad.
Sikap Rifqi yang lebih mementingkan perasaan Huzair berbanding Wildad membuatkan Wildad sering berkecil hati.
Namun, dalam diam hati lelakinya tetap merasa cemburu apabila melihat Huzair mesra bersama Wildad tetapi perasaan itu hanya dipendam Rifqi demi menjaga persahabatan mereka.
Delina pula punya calon kekasih hatinya sendiri, Shakir, namun ibunya, Puan Karmila menentang perhubungan mereka.
Dia mahu Delina berkahwin dengan Huzair kerana mengimpikan syarikat milik Deraman.
Suatu hari, keluarga Wildad ditimpa malang apabila mereka di buru Ahlong akibat hutang kakaknya, Wahidah.
Apabila mengetahui masalah Wildad, Huzair meminta bantuan bapanya untuk menyelesaikan hutang Wildad.
Wahidah juga turut diberi pekerjaan di syarikat mereka. Rifqi mengambil keputusan untuk menjarakkan diri apabila melihat Huzair dan Wildad semakin rapat.
Wildad sebenarnya terluka dengan sikap Rifqi yang tidak ambil peduli tetapi dia juga tersepit dengan kebaikan Huzair yang telah banyak membantu keluarganya.
Namun, Deraman pula tidak mahu Huzair berkawan rapat dengan Wildad kerana dia mahu menjodohkan Huzair dengan Delina, anak sahabat baiknya.
Tanpa pengetahuan Huzair, Deraman membuat keputusan untuk menikahkan Rifqi dan Wildad ketika Huzair ke luar negara untuk menyambung pelajaran.
Adakah Huzair dapat menerima orang yang dicintainya dirampas Rifqi sedangkan selama ini Wildad hanya mencintai Rifqi.
Untuk mengetahui keseluruhan kisah drama yang penuh konflik ini jangan terlepas untuk terus menonton siri Cinta Fatamorgana ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7 malam di saluran TV3.