TOKYO, 16 SEPT – Persaingan bagi memilih pengganti Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sebagai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah semakin rancak apabila beberapa calon rasmi tampil minggu ini.
Bekas Menteri Keselamatan Ekonomi, Takayuki Kobayashi, mengadakan sidang akhbar hari ini untuk menggariskan visinya mengenai perpaduan parti dan pertumbuhan ekonomi sambil mengumumkan pencalonannya dalam pemilihan presiden LDP.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi turut mengesahkan hasrat bertanding, memberitahu wartawan di Parlimen bahawa beliau terdorong untuk memimpin parti.
Menteri Pertanian, Shinjiro Koizumi pula menyatakan hasrat bertanding lebih awal hari ini dengan menekankan keperluan perpaduan parti bagi menangani cabaran seperti kenaikan harga.
Pemilihan presiden LDP, yang kini kurang daripada seminggu sebelum pengumuman rasmi, dilihat bakal menjadi saingan sengit dengan ramai calon. – Bernama


