Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Pereka Saudi bangunkan industri fesyen tempatan

    Gambar AFP

    PARIS – Beliau telah mengenakan pakaian selebriti di seluruh dunia seperti Beyonce dan Deepika Padukone hingga Zendaya dan Cardi B, tetapi selama bertahun-tahun, ramai pelanggan Mohammed Ashi tidak menyedari bahawa beliau merupakan pereka fesyen terkenal pertama dari Arab Saudi.

    “Pada tahun 90an, saya merupakan satu-satunya pereka fesyen dari Arab Saudi. Tetapi saya tidak pernah menyatakan bahawa saya adalah warga Saudi. Saya mahu pakaian saya dikenali terlebih dahulu, bukan diri saya,” beritahu Ashi dalam temu bual yang jarang diadakan dengan AFP di studionya di Paris.

    Ini sebahagiannya disebabkan oleh sifat pemalunya – dia masih enggan mengambil gambar dirinya sendiri – tetapi juga disebabkan hakikat fesyen Barat sebahagian besarnya dianggap tabu di tempat awam, terutama bagi wanita, semasa beliau membesar di Arab Saudi pada tahun 1980an.

    Ashi menempa kerjayanya di luar negara, menerima latihan di Amerika Syarikat dan bekerja untuk Givenchy dan pereka fesyen Lubnan Elie Saab sebelum menetap di Perancis.

    Kini, dengan Arab Saudi mengalami perubahan sosial besar-besaran, beliau telah disambut pulang sebagai mentor untuk Suruhanjaya Fesyen negara itu, yang ditubuhkan pada tahun 2020 untuk membantu membangunkan industri tempatan.

    Gambar fail menunjukkan model AS ,Noel Capri Berry tiba untuk tayangan filem Aline, The Voice of Love di Festival Filem Cannes do Cannes, selatan Perancis. Gaunnya direka oleh Mohammed Ashi (kiri).
    Pereka fesyen Mohammed Ashi berjalan di pentas di Beirut selepas pertunjukannya semasa program TV ‘Projek Fesyen.’
    Model AS Madison Headrick tiba untuk tayangan filem ‘La Belle Epoque’ do Festival Filem Cannes di Cannes, Perancis. Madison mengenakan gaun yang direka Mohammed Ashi.
    Pereka fesyen Saudi Nour al-Dhahri (kiri) dan Khawla Alaiban bergambar di Riyadh.
    Aktres India Deepika Padukone tiba untuk tayangan filem Ash is Purest White di Festival Filem Cannes.
    Cardi B tiba untuk Anugerah Grammy ke-60 di New York.

    “Beberapa bulan yang lalu, saya dijemput untuk berucap di khalayak ramai di Saudi untuk kali pertama, dan begitu ramai orang berjumpa dengan saya selepas itu. Saya menerima pengiktirafan daripada generasi muda yang tidak pernah saya jangkakan sebelum ini,” katanya.

    “Mereka memberikan biasiswa kepada orang untuk sesuatu yang dilarang semasa saya membesar. Ia adalah satu momen ikonik,” tambahnya.

    Pengkritik pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mohammad bin Salman, melihat pelonggaran sekatan sosial sebagai kempen perhubungan awam bertujuan mengalih perhatian orang ramai daripada penyalahgunaan hak asasi manusia yang berterusan.

    Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pelonggaran tersebut telah membuka peluang kepada pereka kreatif muda, seperti Reem Alsabhan, 27, dengan busana ciptaannya kini memeriahkan acara-acara tempatan.

    “Dari awal pengajian saya, saya sentiasa mengulang satu ayat yang saya benar-benar percayai, walaupun jika ia membuat orang terkejut: Riyadh akan menjadi salah satu ibu negara fesyen yang paling penting,” kata Alsabhan kepada AFP di bengkelnya di Riyadh.
    “Kini tanda-tanda masa depan ini mulai muncul.”

    Acara awam yang sebelumnya mustahil – konsert, gala, Festival Filem Laut Merah yang baharu – bermakna Arab Saudi kini mempunyai karpet merah untuk mempersembahkan hasil rekaan Alsabhan.

    Walau bagaimanapun, asas industri fesyen wujud jauh lebih awal, kata Burak Cakmak, ketua Suruhanjaya Fesyen Arab Saudi.

    “Ramai kreatif tempatan telah membina perniagaan fesyen dalam tempoh 20, 30 tahun yang lalu untuk pasaran tempatan tetapi tidak merasakan keperluan untuk menceritakan kisah mereka di luar negara – atau berani untuk berbuat demikian,” beritahunya kepada AFP.

    “Ini membolehkan sistem dibangunkan secara terkawal…dan kini orang dapat melihat terdapat bukan sahaja beratus-ratus jenama yang saling berkaitan dengan budaya mereka malahan menerima inspirasi dari seluruh dunia.”

    Bagi Ashi, adalah masuk akal bahawa Arab Saudi sepatutnya menjadi pusat fesyen kerana, katanya, kekayaan minyaknya telah menyokong jenama-jenama Eropah selama beberapa dekad. Arab Saudi mengambil ‘60 atau 70 peratus couture Perancis’, terutamanya gaun perkahwinan, katanya.

    “Kebanyakan firma besar Perancis bergantung pada perkara ini tetapi mereka tidak suka membincangkannya kerana mereka tidak mahu dilihat hanya sebagai tukang jahit – mereka mahu menjadi satu ‘jenama’.”

    Diari Ashi penuh dan sibuk dengan pelanggan mencuba pakaian dan persediaan untuk majlis busana anggun minggu seterusnya.

    Pakaian beliau sering dipakai di karpet merah daripada majlis Oscar hingga ke Cannes. Salah satu acara kemuncak yang paling bermakna adalah melihat Beyonce mengenakan gaun fuchsia beropol yang mewah di majlis memperingati Nelson Mandela.

    Walaupun bangga menjadi contoh teladan bagi pereka fesyen muda Saudi, beliau masih lebih suka melihat dirinya sebagai ‘warga dunia’. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...