AMBER, INDIA – Seorang pereka tekstil, Brigitte Singh membentangkan sehelai kain yang disulam dengan pokok popi merah yang dikatakannya mungkin direka untuk maharaja Shah Jahan, pembina Taj Mahal, empat abad lalu.
Bagi Singh – yang berpindah dari Perancis ke India 42 tahun yang lalu dan berkahwin dengan kerabat diraja maharaja – karya yang indah itu kekal menjadi seni yang sentiasa memberi inspirasi dalam karyanya di studio miliknya.
Singh, 67 tahun, berusaha untuk mengekalkan seni percetakan blok yang telah berkembang pada abad ke-16 dan ke-17 di bawah pemerintahan Mughal yang menakluk dan kemudiannya memerintah India.
“Saya adalah orang pertama yang menghidupkan semula reka bentuk Mughal seperti ini,” kata Singh kepada AFP di sebuah bengkel percetakan tradisionalnya di Rajasthan.
Setelah mempelajari seni hiasan di Paris, Singh tiba di Jaipur pada tahun 1980 ketika berusia 25 tahun. Jaipur ketika itu dianggap ‘kubu pertahanan terakhir’ yang menggunakan teknik blok ukiran kayu untuk mencetak corak pada bahan rekaan seni.
“Saya sudah lama berhasrat untuk berlatih seni miniatur di Isfahan. Tetapi kumpulan Ayatollah telah tiba di Iran dalam revolusi Islam pada tahun 1979. Atau di Herat, tetapi Soviet tiba di Afghanistan ketika itu,” jelas Singh ketika ditemui wartawan. “Oleh itu, saya memutuskan untuk menetap di Jaipur sahaja,” tambahnya.
Beberapa bulan selepas tiba Jaipur, Singh telah diperkenalkan dengan seorang bangsawan tempatan yang mempunyai pertalian darah dengan maharaja Rajasthan. Mereka kemudian melangsungkan perkahwinan pada 1982.
Pada mulanya, Singh masih berharap untuk menceburkan diri dalam seni lukisan miniatur. Tetapi selepas menjelajah bandar untuk menguruskan beberapa dokumen tradisional untuk diusahakan, Singh terjumpa bengkel menggunakan cetakan blok. “Minat saya bertukar kepada seni percetakan blok,” katanya kepada AFP.
Dia bermula dengan hanya menghasilkan beberapa helai selendang. Singh kemudiannya memberikan hasil karya selendangnya kepada rakan-rakan yang pakar dalam tekstil India semasa dia berada di London. Pakar-pakar tekstil India di London kagum dengan selendang yang dihasilkan oleh Singh dan memujuknya untuk mempamerkan karyanya kepada firma hiasan British, Colefax and Fowler.
“Apa yang saya ingat selepas itu, saya dalam perjalanan pulang ke India dengan tempahan untuk tekstil bercetak,” katanya. Sejak itu, dia tidak pernah menoleh ke belakang untuk menceburkan diri ke dalam seni lukisan miniatur.
Untuk dua dekad seterusnya, Singh bekerja dengan syarikat pencetak di bandar itu sebelum menubuhkan studionya sendiri di Amber tidak jauh dari kota seni terkenal, Jaipur. Bapa mertua Singh iaitu seorang pengumpul utama miniatur Rajasthan yang memberi Singh kain popi era Mughal yang berkaitan dengan Maharaja Shah Jahan.
Pengeluaran semula cetakan itu merupakan satu kejayaan besar di seluruh dunia, dengan terbukti sangat popular dengan berjaya menarik pelanggan dari India, British dan Jepun. Pada tahun 2014, Singh menghasilkan kot yang disulam cetakan popi Mughal dipanggil Atamsukh, yang bermaksud keselesaan jiwa. Karya Singh kemudiannya dibeli oleh Muzium Victoria dan Albert di London. Satu lagi karya beliau kini dipamerkan dalam koleksi Muzium Seni Metropolitan di New York.
Singh memulakan kerjaya proses kreatifnya dengan menyerahkan lukisannya kepada guru pengukirnya , Rajesh Kumar, yang kemudiannya dengan bersungguh-sungguh memahat reka bentuk itu pada bongkah kayu. “Kami memerlukan seorang pengukir yang luar biasa, dengan mata yang mampu melihat butiran kecil,” kata Singh. “Ukiran bongkah kayu adalah kunci utama dalam seni ukiran kayu. Alat ini mempunyai kecanggihan bersifat semula jadi.”
Kumar telah menghasilkan beberapa blok yang sama untuk setiap warna yang digunakan dalam setiap fabrik bercetak. “Motif popia misalnya ada lima warna. Saya perlu menghasilkan lima bongkah,” katanya. “Saya mengambil masa 20 hari.”
Bengkel seni ukiran Singh mempunyai enam orang pekerja yang melakukan pekerjaan pada kepingan kain yang dibentangkan di atas meja yang berpanjangan lima meter. Mereka mencelup blok ke dalam pewarna lalu meletakkannya dengan berhati-hati dan menekan serta mengetuknya. Pekerjaan ukiran tersebut memerlukan ketepatan yang lurus, perlahan dan rumit serta hanya dapat menghasilkan tidak lebih 40 meter bahan setiap hari.
Bengkel Singh menghasilkan pelbagai perhiasan, daripada selimut ke langsir dan anak patung kain ke kasut. Singh baru sahaja menamatkan satu lagi Atamsukh untuk seorang putera raja di Kuwait. “Perkara yang penting ialah memastikan kemahiran itu berkembang,” katanya.
“Apa yang lebih berharga daripada produk yang kami hasilkan adalah kehalusan dalam menghasilkan sesuatu karya.” – AFP