JAKARTA, 30 Mei – Seorang pereka fesyen warga Indonesia yang menjadi terkenal di seluruh dunia dengan koleksinya yang bertemakan Islam telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun hari ini bagi penipuan berjuta-juta dolar dan pembersihan wang.
Mahkamah dekat Jakarta menyabitkan kesalahan ke atas Anniesa Hasibuan (gambar), 31 tahun dan suaminya, kerana menipu para pelanggan yang telah menempah penerbangan ke bandar suci Mekah menerusi agensi pelancongan yang mereka kendalikan.
Pasangan suami isteri itu dituduh menipu beribu-ribu pelanggan dengan jumlah kira-kira 848 bilion rupiah (AS$60 juta), satu kejatuhan mengaibkan bagi Hasibuan yang telah menjadi sebutan ramai di negara yang mempunyai majoriti terbesar umat Islam di dunia.
Dalam tahun 2016, koleksi Hasibuan telah diperagakan di Minggu Fesyen New York yang mana kesemua peragawatinya memakai hijab dan rekaan berinspirasikan keislaman, yang pertama bagi acara berprestij.
Hasibuan dan suaminya, Andika Surachman telah menubuhkan First Travel yang beribu pejabat di Jakarta dalam tahun 2009 untuk mengendalikan penerbangan ke Arab Saudi.
Namun ia tidak menghantar mana-mana pelanggannya ke Mekah sejak awal tahun lalu meskipun telah menerima pembayaran bagi penerbangan itu, mahkamah mendengarkan.
Mahkamah telah mendenda Hasibuan sebanyak 10 bilion rupiah dan menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas suaminya. Suaminya telah dikenakan denda yang sama.
Pihak pendakwa menuntut hukuman penjara 20 tahun bagi kedua-dua mereka.
“Pihak defendan terbukti bersalah dari segi undang-undang telah melakukan jenayah bersama-sama,” kata hakim Sobandi. – AFP