Perekrut didakwa seksa kru kapal

JAKARTA, 21 JULAI – Polis di Indonesia telah mendakwa tiga ketua agensi perekrut atas kematian seorang anggota kru Indonesia yang dijumpai di dalam peti sejuk beku di sebuah kapal nelayan China, kata seorang pegawai hari ini.

Ia berlaku seminggu selepas seorang penyelia China di Lu Huang Yuan Yu 118 didakwa membunuh Hasan Apriadi yang berusia 20 tahun dan menyerang kru Indonesia lain yang bekerja di kapal itu. Perekrut menjalankan dua agensi yang menggaji Apriadi dan sekurang-kurangnya sembilan lagi lainnya untuk bekerja di kapal China, kata polis.

“Ketiga-tiga suspek telah ditahan dan didakwa di bawah undang-undang pemerdagangan manusia,” kata jurucakap polis negara, Awi Setiyono, sambil menambah bahawa operasi mencari sedang dijalankan untuk dua pegawai kanan syarikat lain yang masih bebas.

Ketiga-tiga mereka juga menghadapi tuduhan kerana sengaja membahayakan anggota kru, kata polis.

Pakar anti pemerdagangan manusia mengatakan industri perikanan penuh dengan kerja paksa, pekerja yang dieksploitasi, tidak mendapat bayaran gaji, kerja berlebihan, keganasan dan kematian.

Perekrut yang tidak bertanggungjawab menyasarkan golongan miskin di Asia Tenggara yang tidak berpendidikan dengan janji kehidupan yang lebih baik untuk dijadikan sebagai anggota kru kapal.

Awal bulan ini polis mengatakan mereka memintas dua buah kapal China yang menuju ke Selat Melaka, yang memisahkan Indonesia dan Malaysia, setelah mendapat maklumat bahawa seorang anak kapal telah mati di salah sebuah kapal itu. – AFP