Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seorang perempuan berbangsa Kadazan Dusun telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di sebuah rumah persendirian di Kampung Salambigar, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.
Dayang Elley Milus yang berusia 27 tahun telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Elisha Aliyah binti Abdullah.
Hadir menyaksikan majlis penuh berkat itu ialah Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, kemudian diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman di hadapan pegawai dari Bahagi-an Pengembangan Dakwah (Pengislaman), PDI.
Kemudian, majlis diterus-kan dengan penyampaian cenderahati kepada Nur Elisha Aliyah oleh tetamu kehormat. Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai kepada yang diraikan, dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat.
Menurut statistik PDI, jumlah orang yang didaftarkan memeluk agama Islam sejak awal tahun 2022 hingga 28 Februari ialah seramai 83 orang. Keramaian orang yang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam sepanjang tahun 2021 ialah seramai 356 orang, manakala bagi tahun 2020 pula ialah seramai 436 orang.
