Kejayaan Perempuan Itu yang berjaya menyentuh hati penonton membuktikan karya itu bukan seperti apa diperkatakan menerusi kontroversi menyelubungi drama berkenaan sebelum ini.
Pelakon dan penerbit Erma Fatima, 55, berkata, dia memilih mendiamkan diri kerana ingin membuktikan dengan karya penuh meskipun teruk dihina dan menerima kata-kata kecaman warganet.
Katanya lagi, dia juga tidak cuba menegakkan benang yang basah kerana kontroversi yang melanda adalah satu kesalahan yang tidak perlu ditegakkan.
Satu ketika dulu saya dihina, dimaki, disumpah seranah kerana kealpaan kami pada satu klip yang terlepas dimuat naik di media sosial.
“Saya mendiamkan diri dan saya dituduh tidak bertanggungjawab. Saya berjanji akan menjawab semua cemuhan itu dalam karya saya itu nanti apabila ia ditayangkan.
“Apa yang ingin saya sampaikan dalam drama ini bukanlah pada satu klip itu. Salah tetap salah. Kami tidak boleh menghalalkan yang haram, saya akur akan perkara itu,” katanya.
Erma berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di TikTok miliknya pada Jumaat.
Sementara itu, Erma turut melahirkan penghargaan buat semua barisan pelakon Perempuan Itu bersempena episod terakhir drama tersebut yang ditayangkan semalam. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P18-B_01072023.jpg)