BUDAPEST, 24 JUN – Perenang artistik, Anita Alvarez berjaya diselamatkan daripada lemas di kolam renang oleh jurulatihnya selepas didapati pengsan di Kejohanan Renang Dunia di Budapest.
Andrea Fuentes terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan perenang dari pasukan Amerika Syarikat (AS), setelah perenang itu tenggelam dan tidak bernafas selepas melakukan renangannya semasa pertandingan renang perseorangan artistik, baru-baru ini.
“Ia adalah sesuatu yang menakutkan, saya terpaksa terjun kerana anggota penyelamat tidak melakukan apa-apa,” kata Fuentes ketika ditemui oleh akhbar Sepanyol, Marca.
Fuentes terjun ke dalam kolam dan membawa Alvarez ke permukaan air sebelum dibantu oleh anggota penyelamat.
“Saya berasa takut kerana dia dilihat tidak bernafas, tetapi sekarang dia berada dalam keadaan baik,” kata Fuentes.

Alvarez dibawa ke pusat perubatan, bersama ahli pasukannya dan penyokong yang dilihat terkejut dengan kejadian tersebut.
Pasukan renang AS kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Alvarez kini dalam keadaan baik.
Fuentes, pemenang pingat Olimpik empat kali memberitahu radio Sepanyol bahawa Alvarez pengsan disebabkan berada di dalam kolam terlalu lama semasa pertandingan itu.
“Terdapat air di dalam paru-parunya namun setelah dia berupaya bernafas semula, semuanya menjadi baik,” kata Fuentes.
Fuentes berkata Alvarez bercadang untuk berehat pada hari ini dan masih berkeinginan untuk menyertai pertandingan dalam acara berpasukan pada Jumaat selepas menjalani pemeriksaan lanjutan. – AFP