SILVERSTONE, 31 JULAI – Pemandu Formula Satu (F1), Sergio Perez telah disahkan positif COVID-19 dan tidak akan menyertai Grand Prix Britain hujung minggu ini, kata pasukan Racing Point kelmarin.
“Berikutan pengumuman bahawa Sergio telah disahkan positif COVID-19 di Silverstone Circuit menjelang Grand Prix Britain, pasukannya dengan kecewa mengumumkan bahawa dia tidak akan menyertai dalam perlumbaan hujung minggu ini,” kata pasukannya dalam satu kenyataan.
Pemandu Mexico berusia 30 tahun itu adalah pemandu pertama yang disahkan positif virus itu sejak kejuaraan dunia F1 kembali di Austria pada awal Julai dengan protokol yang ketat.
“Sergio kelihatan sihat secara fizikal dan semangat, tetapi dia akan terus melakukan pengasingan diri di bawah garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan awam, dengan keselamatan menjadi keutamaan bagi pasukan dan sukan ini,” tambah pasukannya.
Perez kemungkinan akan digantikan oleh rakannya Esteban Gutierrez dari Mexico atau Stoffel Vandoorne dari Belgium untuk perlumbaan Ahad ini, pusingan keempat kalendar F1 musim ini. – AFP
