Pergerakan pulang pelajar bermula kelmarin

PUTRAJAYA, 1 MEI – Pergerakan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari Semenanjung ke Sarawak dan dari Sarawak ke Semenanjung bermula hari ini melibatkan seramai 575 pelajar, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Bagi pergerakan pelajar Semenanjung ke Sarawak, seramai 287 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dibawa dengan 16 bas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), berlepas dengan pesawat pada 10:30 pagi tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada sebelah petang.

Noraini berkata mereka akan disambut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan urusan penghantaran pulang pelajar akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang terlibat manakala sebahagiannya akan dijemput oleh wakil keluarga masing-masing.

Bagi pergerakan pelajar dari Sarawak ke Semenanjung pula, seramai 288 pelajar dari tiga IPT iaitu 284 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga pelajar UiTM Samarahan dan seorang pelajar Politeknik Kuching akan menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, katanya.

“Setibanya pelajar di KLIA, mereka dibawa menaiki 18 bas yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kediaman masing-masing di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata pada hari ini juga, berlaku pergerakan lain iaitu pergerakan intra-zon di Zon Tengah dan Zon Perak ke Zon Tengah. – Bernama

Anggota tentera melakukan pemeriksaan suhu badan kepada pelajar sebaik tiba kelmarin. Seramai 24 pelajar dari Semenanjung Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal 2 dengan menaiki pesawat khas Airbus A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang. – Bernama