Pergerakan rentas negeri perlu kebenaran polis selepas 10 Mei

PUTRAJAYA, 8 MEI – Pergerakan rentas negeri selepas 10 Mei memerlukan kebenaran daripada pihak polis, dan hanya kes kecemasan sahaja akan dibenarkan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata individu yang memerlukan kebenaran pergerakan ini boleh memohon di balai polis berhampiran.

“Selepas 10 Mei, pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan seperti kematian, sekatan jalan raya bagi rentas negeri masih kekal,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Gerak Malaysia yang bermula semalam, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ia berjalan lancar, dengan ramai pengguna memulakan perjalanan pada awal pagi.

Beliau berkata, bagi rentas negeri semalam, PDRM telah memberi kebenaran kepada 26,181 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 6,304 kebenaran melalui borang manual, bagi mereka yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman mereka, di negeri-negeri lain. – Bernama

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama