Sunday, January 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pergerakan yang membatalkan sembahyang

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Pergerakan yang membatalkan sembahyang

    Adapun yang dimaksudkan dengan perbuatan yang membatalkan sembahyang itu ialah:

    Yang pertama, perbuatan banyak yang dilakukan dalam keadaan yakin. Pendapat shahih dalam menentukan kadar perbuatan yang dianggap sebagai banyak dan sedikit itu adalah dengan merujuk kepada kebiasaan orang ramai/masyarakat.

    Perbuatan yang dianggap banyak seperti melangkah sebanyak tiga kali langkah atau lebih.

    Perbuatan yang dianggap sedikit pula seperti memberi isyarat ketika menjawab salam sama ada dengan isyarat kepala atau tangan, melangkah dengan dua langkah atau memukul dengan dua pukulan yang sederhana.

    Perbuatan yang sedikit tidak termasuk dalam perbuatan yang membatalkan sembahyang.

    Gambar Freepik

    Maksud perbuatan yang sedikit adalah perbuatan yang kurang daripada tiga seperti sekali pukulan atau dua kali pukulan dengan tidak berlebih-lebihan dalam pukulannya ataupun selangkah atau dua langkah walaupun langkahnya itu luas.

    Walau bagaimanapun, jika perbuatan sedikit itu dilakukan dengan tujuan main-main atau gurauan, perbuatan tersebut membatalkan sembahyang.

    Yang kedua, perbuatan yang bukan daripada jenis perbuatan sembahyang; seperti lompatan, pukulan, tendangan dan yang seumpamanya, sama ada dilakukan secara senghaja atau tidak.

    Seterusnya, perbuatan yang dilakukan tanpa ada sebab yang munasabah yang membolehkannya untuk melakukan pergerakan atau perkara yang memerlukannya untuk melakukan pergerakan.

    Jika ada hajat untuk melakukan pergerakan seperti sembahyang dalam keadaan ketakutan atau membunuh binatang berbisa yang memudaratkan seperti ular dan kala jengking di mana membunuhnya adalah disunatkan, maka tidak batal sembahyang walaupun banyak pergerakan dilakukan.

    Seterusnya, perbuatan yang dilakukan dengan menggunakan anggota yang berat seperti tangan, kaki dan kepala.

    Akhir sekali, perbuatan yang dilakukan sebanyak tiga kali atau lebih secara berturut-turut; sama ada pergerakan itu daripada jenis perbuatan yang sama seperti menggoyangkan kepala tiga kali berturut-turut atau dua jenis perbuatan seperti melangkah ke hadapan selangkah dan diikuti dengan memukul dua kali pukulan atau tiga jenis perbuatan seperti melangkah, pukulan dan goyangan kepala secara berturut.

    Termasuk di dalam maksud berturut-turut yang membatalkan sembahyang itu; (i) jika tiga kali perbuatan atau lebih dilakukan pada waktu yang sama seperti memukul, menendang dan menggerakkan kepala pada satu masa, dan (ii) jika satu kali perbuatan diniatkan tiga kali.

    Jika tiga pergerakan atau lebih dilakukan secara terpisah atau berselang-seli, maka yang sedemikian tidaklah membatalkan sembahyang seperti langkah yang kedua terpisah (tidak dilakukan berturut) daripada langkah pertama dan langkah ketiga terpisah dari langkah kedua.

    Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, katanya yang maksudnya:

    “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ketika dalam sembahyang, Baginda menggendong Umamah anak perempuan Zainab iaitu anak perempuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan (Umamah anak perempuan Zainab bersama) Abi al-Ash bin ar-Rabi‘e . Maka diangkatnya Umamah apabila Baginda sedang berdiri dan diletakkannya apabila Baginda sujud.” (Hadits riwayat Muslim)

    Berdasarkan hadits di atas, perbuatan sedikit tidaklah membatalkan sembahyang. Begitu juga halnya dengan perbuatan yang berulang dilakukan terpisah-pisah, tidak berturut-turut, hukumnya tidak membatalkan sembahyang.

    Menambah perbuatan dari jenis perbuatan sembahyang adakah membatalkan?

    Jika seseorang menambah perbuatan sembahyang kerana terlupa seperti tambahan satu rakaat dalam sembahyang, tidaklah membatalkan sembahyangnya dan disunatkan melakukan sujud sahwi (sujud sebanyak dua kali setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan di antara kedua sujud itu duduk di antara dua sujud dan selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam).

    Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, katanya yang maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami dengan bilangan lima raka‘at. Apabila selesai sembahyang, orang ramai berbisik-bisik sesama mereka. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa hal kamu?”

    Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, adakah tambahan (rakaat) di dalam sembahyang?”

    Baginda menjawab: “Tidak.”

    Mereka berkata lagi: “Bahawasanya tuan sembahyang lima rakaat.”

    Baginda kemudiannya berpaling lantas melakukan dua kali sujud dan bersalam. Kemudian Baginda berkata: “Sesungguhnya aku juga manusia seperti kamu, aku juga lupa sebagaimana kamu lupa”. (Hadits riwayat Muslim)

    Ibn Numair mempunyai tambahan di dalam hadits: “Apabila lupa salah seorang daripada kamu (perkara-perkara yang dituntut di dalam sembahyang),maka sujudlah kamu dua kali sujud.”

    Hadits ini menjadi dalil bahawa seseorang yang menambah satu raka‘at di dalam sembahyangnya kerana lupa tidak membatalkan sembahyangnya. Jika dia mengetahui selepas lama berlalu salamnya, sah sembahyangnya dan tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi menurut pendapat al-ashah (yang lebih shahih). Manakala jika dia ingat sejurus selepas salam, disunatkan ke atasnya untuk sujud sahwi.

    Jika dia melakukan perbuatan seumpama ruku’ dengan tujuan untuk membunuh binatang berbisa, ular umpamanya, maka perbuatan tersebut tidak membatalkan sembahyangnya.

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Maksudnya: “Bunuhlah ‘al-aswadain’ di dalam sembahyang; ular dan kala jengking.” (Hadits riwayat Abu Daud)

    Imam al-Khaththabi Rahimahullah menyebutkan bahawa hadits di atas merupakan dalil yang menunjukkan bahawa harus melakukan perbuatan ringan di dalam sembahyang dan melakukan perbuatan dua kali berturut tidak membatalkan sembahyang.

    Akan tetapi jika perbuatan itu dilakukan berturut-turut dan sampai kepada had yang dianggap sebagai banyak, maka batal sembahyang.

    Pada kebiasaannya, membunuh ular adalah dengan sekali atau dua kali pukulan.

    Namun jikapun ianya dilakukan lebih dengan tiga kali pukulan atau lebih, maka tidak membatalkan sembahyang kerana suruhan membunuh ular dan kala jengking ini adalah suruhan mutlak semata-mata tanpa ada mengaitkan dengan sekali atau dua kali pukulan.

    Selain ular, termasuk juga yang boleh dibunuh ketika di dalam sembahyang itu setiap binatang memudaratkan yang boleh dibunuh seperti penyengat dan seumpamanya.

    Namun jika dia melakukan perbuatan itu secara sengaja seperti menambah ruku‘, maka batal sembahyangnya walaupun perbuatan itu hanya dilakukannya sekali sahaja. Ini kerana menambah perbuatan dari jenis sembahyang secara senghaja seperti ruku‘ atau sujud, tidak berkait dengan banyak atau sedikit perbuatan itu.

    Perbuatan ringan yang tidak membatalkan sembahyang

    Sembahyang tidak batal dengan perbuatan-perbuatan ringan sekalipun banyak dan bersambung-sambung namun dihukumkan makruh. Sebagai contoh, menggerakkan jari berkali-kali tanpa bergerak tapak tangannya kerana menggaru pada tapak tangan.

    Begitu juga menggerakkan lidah, menggerakkan kelopak mata ataupun menggerakkan kedua bibir adalah tidak membatalkan sembahyang kerana semuanya masih tetap di tempatnya.

    Dalam perkara menggerakkan jari, ia tidak termasuk pergerakan tapak tangan.

    Menggerakkan tapak tangan tiga kali berturut-turut boleh membatalkan sembahyang, kecuali jika seseorang yang terkena penyakit kulit gatal yang pada kebiasaannya dia tidak tahan untuk menggarunya, maka sembahyangnya tidak batal dengan menggerakkan tapak tangan tiga kali atau lebih kerana keterpaksaan melakukan sedemikian.

    Dalam perkara menggerakkan lidah pula, sebahagian ulama membahas bahawa menggerakkan lidah sehingga sampai keluar dari batasnya iaitu mulut dengan tiga kali gerakan atau lebih adalah membatalkan sembahyang.

    Ini kerana menggerakkan lidah yang dianggap sebagai perbuatan ringan yang tidak membatalkan sembahyang adalah apabila pergerakan itu tetap di tempatnya.

    Oleh yang demikian, sebagai seorang Muslim, menjaga kesempurnaan sembahyang perlu dijadikan keutamaan. Kekhusyu‘an dalam sembahyang adalah nikmat yang amat besar dalam meningkatkan tahap iman seseorang.

    Perkara-perkara yang boleh menyebabkan hilang kekhusyu‘an dalam sembahyang ini perlu dihindari. Umpamanya bergerak di dalam sembahyang yang boleh mengganggu konsentrasi bersembahyang malahan boleh membatalkan sembahyang. Memang tidak semua pergerakan membatalkan sembahyang, namun mengelakkannya adalah lebih baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda