Pergiat program cegah jenayah

LABUAN, 17 OKT – Polis Labuan mempergiatkan usaha mencegah jenayah dengan beberapa kawasan yang didapati cenderung jenayah, dijadikan sebagai kampung angkat.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata pada masa ini, dua kampung di Skim Penempatan Pelarian Sementara iaitu Kampung Kiansam dan Kampung Muslim telah menjadi kampung angkat.

“Melibatkan masyarakat di kampung adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memerangi jenayah. Kami tidak akan membuatkan kampung ini menjadi sarang jenayah dan dadah…kami mahu penduduk kampung bekerjasama dengan kami dalam menangani isu pendatang tanpa izin, pengedaran dadah dan aktiviti jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pengambilan kampung angkat di Kampung Muslim di sini hari ini.

Menerusi program itu, anggota polis akan ditempatkan di kampung-kampung terpilih dalam tempoh tertentu. – Bernama