Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pergolakan global ‘normal baharu’

    BERLIN, 26 JAN – Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen memberi amaran hari ini bahawa gangguan dan turun naik global adalah ‘normal baharu’, dengan lebih banyak ketegangan geo-ekonomi bakal berlaku.

    “Tahun 2024 akan menjadi musim yang bergolak, dengan lebih banyak ketegangan geo-ekonomi dijangkakan dari Laut Merah ke Selat Taiwan yang juga bermakna gangguan yang lebih kerap kepada rantaian bekalan dan ketidaktentuan yang lebih besar pada pasaran tenaga,” katanya pada persidangan iklim di Hamburg.

    “Persaingan antarabangsa akan menjadi semakin sukar. Itulah normal baharu yang perlu kita hadapi.”

    Kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap ditambah kepada masalah bermakna Eropah perlu bersatu ‘tidak pernah sebelum ini’ untuk menghadapi cabaran.

    Blok 27 negara itu, katanya, telah bertindak balas dengan cepat untuk mengekang kebergantungannya kepada gas Rusia selepas pencerobohan sepenuh Moscow ke atas Ukraine pada Februari 2022.

    Krisis itu bermakna EU berkemungkinan menjana lebih banyak tenaga daripada angin dan suria berbanding gas tahun ini.

    Namun von der Leyen berkata harga tenaga perlu turun lebih jauh, dan dia menggesa ‘keputusan pelaburan yang betul’ untuk menjadikannya satu kenyataan.

    Kesukaran yang dihadapi oleh perniagaan telah ditambah dengan serangan ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah oleh pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman. – AFP

    Ursula von der Leyen menyampaikan ucapan semasa sidang media di ibu pejabat kerajaan Sweden Rosenbad di Stockholm, Sweden kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda