Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perhiasan bermotifkan ikan

    Oleh Amri HTZ

    Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini berlainan daripada sebelumnya, namun ia bukanlah penghalang untuk meraikannya bersama keluarga. Sebelum menyambut kedatangan tetamu, sudah menjadi suatu kemestian bagi umat Islam untuk menerima kedatangan dengan persediaan sebaik-baiknya. Untuk itu, sebagai penambah seri ruang bilik tamu, tempatkan hiasan bermotifkan hidupan laut dengan merekanya sendiri.

    Sedia sebelum memulakan projek

    Perhiasan bermotifkan ikan yang unik dalam projek ini memerlukan beberapa barangan penting untuk disediakan sebelum memulakan proses pembuatan seperti mesin skrol atau jig, kertas pasir, mesin gerudi, mata gerudi berukuran 2mm, pita pengukur, berus cat, cat akrilik dengan warna pilihan, pensel, gunting, mesin pencetak dan komputer, papan berukuran 1” inci tebal dan lebar 8”, papan lapis atau papan berukuran 10mm, rod besi berukuran 2mm, cat pelindung berwarna clear, dan super glue atau hot glue.

    Tiru pemandangan lautan sebagai perhiasan

    Untuk langkah pertama pembuatan, bentuk luaran ikan perlu didapatkan dengan cara memuat turun daripada Internet, mereka menggunakan perisian komputer atau hanya melakarnya secara manual. Kesemua cara ini adalah bagi mendapatkan dan meniru bentuk luaran ikan ke atas permukaan papan lapis yang telah disediakan.

    Bagi penggunaan komputer, bentuk yang telah didapatkan akan dicetak menggunakan mesin pencetak di mana ia akan dipotong menggunakan gunting. Bentuk ikan yang telah dipotongkan ini akan digunakan sebagai templat pada permukaan papan. Dengan melekatkannya atau hanya memegangnya pada permukaan papan lapis, tiru bahagian luar templat menggunakan pensel. Gunakan templat dengan ukuran yang berbeza bagi menjadikan rekaan lebih menarik.

    Bagi awda yang mahir dalam bidang lukisan, melakarnya terus pada permukaan papan merupakan satu kelebihan di mana ia boleh menjimatkan masa dan bentuk ikan yang direka setentunya berbeza mengikut kreativiti tersendiri. Permukaan papan lapis yang telah dilakarkan bentuk ikan tersebut akan dipotong menggunakan mesin skrol, jig atau gergaji gelung (bandsaw).

    Bentuk ikan yang telah dicetak akan dipotong dan dijadikan templat bagi melakarnya pada permukaan kayu.
    Berhati-hati ketika melakukan proses pemotongan rod di mana bahagian potongan yang tajam boleh mendatangkan kecederaan semasa mengendalikannya.
    Proses mewarnakan kayu menggunakan cat akrilik.
    Rod besi yang telah disusun kedudukannya di mana ukuran yang pendek akan diletakkan pada bahagian depan diikuti dengan yang lebih panjang pada bahagian belakang bagi memastikan rekaan bahagian belakang tidak terhalang (pemandangan).

    Ketika melakukan proses pemotongan, pastikan mata mesin yang digunakan dalam keadaan tajam, ini kerana mata mesin yang tumpul boleh merobek permukaan potongan terutamanya bagi papan lapis yang setentunya menghasilkan rekaan yang tidak kemas. Jika terjadinya hal sedemikian, cuba selesaikan masalah permukaan potongan yang tidak rata dengan menggosoknya menggunakan kertas pasir atau wood filler.

    Bagi bahagian asas rekaan, potongkan papan yang disediakan dengan panjang 14”. Jika permukaan papan yang digunakan dalam keadaan tidak rata atau kasar, gunakan ketam kayu untuk meratakannya diikuti dengan menghalusi keseluruhan permukaannya menggunakan kertas pasir. Lakukan proses yang sama pada keseluruhan bentuk ikan yang telah dipotongkan tadi.

    Langkah seterusnya adalah melakar bentuk ombak pada permukaan papan. Melakarkan dengan bentuk dan warna sebenar setentunya menjadikan rekaan akan nampak lebih realistik. Namun dengan hanya melakar bentuk kasar ombak sudah mampu menjadikan rekaan tersebut menarik dan unik. Lakaran bentuk ombak pada permukaan papan tersebut akan diwarnakan dengan warna biru muda atau kelabu kebiruan.

    Sementara untuk bentuk ikan, templat yang digunakan bagi melakar permukaan luarannya akan dipotongkan pada bahagian kepalanya untuk mendapatkan bentuk tersebut pada permukaan papan lapis. Tiru bentuk luaran kepala ikan dan lakar menggunakan pensel. Bentuk kepala ikan yang telah dilakarkan akan memudahkan proses mewarnakan badannya menggunakan warna yang dirasakan sesuai dengan tema ruangan di mana ia ditempatkan. Bagi memberikan rekaan yang nampak lebih detil, gunakan pewarna hitam untuk menyerlahkan bahagian badan ikan seperti kepala, ekor dan sirip.

    Setelah cat yang digunakan mengering, bahagian tengah bawah bentuk ikan akan ditebuk yang akan dijadikan ruangan untuk memasukan rod besi pada bahagian bawahnya. Gunakan mata gerudi yang sama atau kecil sedikit daripada rod yang digunakan bagi memastikan ia cukup ketat dan tidak mudah bergerak apabila dimasukkan.

    Pada bahagian papan asas, permukaan tersebut juga akan ditebuk dengan kedalaman lebih kurang ½” juga akan dijadikan ruangan untuk memasukkan rod nanti. Berhati-hati ketika melakukan proses penebukan bagi memastikan kayu tidak terbelah atau rosak sekali gus merosakkan lakaran pada permukaannya. Kedudukan lubang yang ditebuk adalah mengikut kesesuaian dan pastikan ia seimbang secara keseluruhan.

    Rod yang disediakan akan dipotong menggunakan playar khusus. Kesemua rod yang dipotong (mengikut jumlah bentuk ikan yang direka di mana dalam projek ini lima kayu berbentuk ikan direka) mempunyai ukuran yang tidak sama di mana ia akan memastikan setiap rekaan tidak berlapis atau terhalang di antara satu sama lain ketika melihatnya dari bahagian depan.

    Setelah kesemuanya dipotong, rod-rod tadi akan dimasukkan ke dalam lubang yang telah ditebuk yang turut diisikan dengan gam (super glue atau hot glue) bagi memastikan ia akan kekal pada kedudukannya. Sebelum gam mengering (ikut tempoh yang disarankan melalui arahan pada kotak gam digunakan), gunakan masa tersebut untuk menyusun kedudukan bentuk ikan daripada bahagian depan. Bagi awda yang tidak sabar untuk menempatkannya di ruangan dinginkan, proses pengeringan tentu saja boleh dilakukan di ruangan yang hendak diletakkan sambil menyaksikan hasil rekaan sendiri menyerikan ruangan!

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda