Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perhimpunan Agung PBB sesi ke-79 dibuka

    NEW YORK, 11 SEPT – Sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) dibuka kelmarin oleh Philemon Yang, Presiden baharu Perhimpunan Agung, lapor Xinhua.

    Dalam ucapan pembukaannya, Yang berkata dunia sedang menghadapi banyak cabaran, seperti perubahan iklim yang memusnahkan planet ini dan mengancam nyawa serta masyarakat selain konflik dan keganasan bersenjata yang berlarutan dari Sudan ke Haiti, dan dari Ukraine ke Gaza, ‘meninggalkan jejak kematian’, kemusnahan dan penderitaan di seluruh dunia.

    “Penderitaan akibat kemiskinan dan kebuluran masih berterusan,” katanya sambil menambah bahawa prasangka dan kebencian – sering diperkuatkan oleh alat digital baharu yang membawa peluang tetapi juga risiko – terus mencetuskan ketegangan dan persengketaan.

    Beliau menyeru agar Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip kerjasama antarabangsa dijadikan panduan dalam menangani cabaran itu.

    Menegaskan bahawa kerjasama antarabangsa masih menjadi alat paling berkesan untuk menangani isu-isu mendalam yang tidak mempunyai sempadan, Yang berkata, “Kerjasama antara negara anggota membolehkan kita memanfaatkan sumber kolektif dan kepintaran untuk merealisasikan aspirasi tertinggi manusia seperti keamanan, keadilan dan pembangunan mampan.

    Antonio Guterres bercakap semasa sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB, pada 10 September. – AP

    “Perhimpunan Agung PBB adalah platform paling berkuasa untuk merealisasikan janji itu sepenuhnya.”

    Yang turut menggariskan keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan menumpukan kepada prinsip perpaduan dalam kepelbagaian, kemajuan keamanan, pembangunan mampan dan ‘komitmen menyeluruh dan tanpa kompromi terhadap maruah manusia untuk semua orang di mana-mana sahaja.’

    Keutamaan lain termasuk penggunaan pelbagai bahasa dalam kerja-kerja Perhimpunan Agung serta kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

    Beliau mengulangi komitmen untuk melaksanakan mandat Perhimpunan Agung, termasuk reformasi Majlis Keselamatan, ‘penggiatan semula’ Perhimpunan Agung dan Sidang Kemuncak Sosial 2025.

    Dalam ucapan pembukaannya, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata Perhimpunan Agung adalah ‘tempat di mana penyelesaian dihasilkan’ untuk pelbagai cabaran yang dihadapi dunia hari ini, termasuk penyelesaian untuk menghidupkan semula Matlamat Pembangunan Mampan, menamatkan kemiskinan dan ketidaksamaan; penyelesaian untuk merangsang kemajuan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua; penyelesaian untuk merapatkan jurang politik dan menamatkan konflik serta penyelesaian untuk menamatkan bencana iklim.

    “Semasa kita membuka sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB ini, kita berhadapan dengan dunia yang sedang bermasalah. Tetapi berita baiknya ialah kita boleh melakukan sesuatu mengenainya,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda