Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perhimpunan cermin kematangan demokrasi kerajaan MADANI

    KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Pendekatan kerajaan MADANI yang membenarkan perhimpunan aman tanpa gangguan mahupun kekerasan mencerminkan komitmen kukuh terhadap prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.

    Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli Abdul Halim berkata tindakan kerajaan yang menghormati hak berhimpun itu bukan satu bentuk kelemahan pentadbiran, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebenar demokrasi yang semakin matang di Malaysia.

    Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malah turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas peranan penting mereka dalam memastikan kelancaran perhimpunan aman berkenaan.

    “Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita dengan mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.

    “Cita-cita MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil tetapi juga hak kehidupan rakyat,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan hari ini. 

    Adam Adli berkata kerajaan juga melihat perhimpunan itu bukan sebagai ancaman tetapi lambang perubahan budaya politik dengan meraikan segala perbezaan pandangan.

    “Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang, kedua-dua-nya penting dan wajar dilindungi. Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi,” katanya.

    Beliau berkata pada masa yang sama, pelbagai usaha kerajaan dalam
    menangani isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan serta pelaksanaan reformasi dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan membuktikan komitmen berterusan kepimpinan negara terhadap kesejahteraan rakyat. – Bernama

    Adam Adli ketika ditemui media selepas ASEAN Youth ESports Championships 2025 di Esports Intergated @ Spacerubix pada 26 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda