Perhimpunan Khas Wanita Rabu ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Raptai penuh Majlis Perhimpunan Khas Wanita sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi tahun 1438H yang akan berlangsung pada 13 Rabiulakhir 1438H/11 Januari 2017M telah diadakan Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Hadir menyaksikan raptai penuh itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang juga pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringat Kebangsaan bagi Tahun 1438H.

Turut hadir juga ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof.

Majlis itu nanti akan diserikan lagi dengan ceramah khas mengenai tema majlis tahun ini iaitu ‘Berwawasan yang Berkat dengan Bercontoh kepada Rasulullah S.A.W’ yang akan disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Dayangku Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan.

Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir menyaksikan raptai petang kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Ugama semasa hadir menyaksikan raptai petang kelmarin.
Persembahan kesimpulan makna ayat secara berdialog daripada penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Katok.
Persembahan kesimpulan makna ayat secara berdialog daripada penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Katok.

Persembahan kesimpulan makna ayat secara berdialog akan disampaikan oleh penuntut Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Katok dan persembahah Dikir Marhaban pula akan disampaikan gabungan bersama KHEU dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Majlis anjuran KHEU dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan itu juga akan mengetengahkan pameran, jualan produk halal dan perkhidmatan pengusaha-pengusaha tempatan.