Perhimpunan maya terbesar UNN

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Unified National Networks (UNN) pada baru-baru ini telah mengadakan perhimpunan secara maya sebagai alternatif untuk kakitangannya berkumpul dalam satu ruang yang selamat dan terjamin di masa penularan wabak pandemik COVID-19 melanda negara.

Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler dalam ucapan pembukaannya menjelaskan bahawa mengadakan perhimpunan maya, terutama pada masa yang mencabar ini, adalah sangat penting kerana ia menyediakan platform kepada syarikat untuk menjadi telus kepada para pekerja mengenai kesukaran yang ditanggung syarikat di samping pencapaian-pencapaian serta menggambarkan betapa para pekerja dapat bekerjasama ke arah menyampaikan segala yang dirancang.

Menurut kenyataan UNN, mesyuarat dua kali setahun itu menyaksikan barisan agenda yang menyentuh mengenai prestasi kewangan dan hasil syarikat, aktiviti dan inisiatif operasi, pencapaian, projek dan pembangunan masa depan serta kebajikan pekerja.

Perhimpunan secara maya itu diakhiri dengan sesi soal jawab yang menimbulkan penglibatan aktif antara pekerja dan pasukan pengurusan.

Dalam ucapan penutupnya, Dr Steffen menekankan keperluan untuk menjaga maklum balas pekerja kerana ia berharga untuk membantu syarikat mengenal pasti jurang dan terus mencari cara menambah baik proses kerja dan menyelaraskan semua orang kepada mereka.

Lebih 85 peratus kakitangan UNN menyertai perhimpunan maya tersebut sekali gus menandakan acara maya terbesar yang pernah dianjurkan oleh syarikat itu dalam menghimpunkan seluruh tenaga kerja pada satu platform.

Lebih 85 peratus kakitangan UNN mengikuti perhimpunan yang diadakan secara maya itu. – Gambar serahan UNN