Perhimpunan Pengakap Kelana Asean Berjaya

Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Timbalan Sultan, hari ini, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama (1st ASEAN Rover Moot) yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.

Keberangkatan DYTM Pengiran Muda Mahkota di Pusat Belia dijunjung oleh Menteri Kesihatan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Yang Di-Pertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Haji Matusin dalam sembah alu-aluannya menyatakan bahawa Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama yang diadakan dari 12 hingga 17 Disember telah berjaya menghimpunkan belia-belia dari bahagian Pengakap Kelana negara-negara ASEAN bagi sama-sama menjayakan perhimpunan itu.

Kegiatan yang dikendalikan sepanjang Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN ini banyak memberikan manfaat kepada para peserta melalui kegiatan dijalankan, di samping mengembangkan minda, ia juga memberi pengetahuan mengenai kepimpinan yang setentunya dapat membina keyakinan diri para peserta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali selaku kem komandan dalam laporan penutup perhimpunan berkenaan menyembahkan bahawa perhimpunan itu disertai oleh seramai 350 orang peserta dari tujuh buah negara ASEAN dan seramai lebih 100 orang pelawat pengakap dari negara-negara ASEAN dan rantau Asia Pasifik.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama di Negara Brunei Darussalam.
Keberangkatan tiba DYTM Pengiran Muda Mahkota pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Pusat Belia, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan Anugerah Pengakap Sultan kepada salah seorang penerima.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang ahli kontinjen yang menyertai Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama.
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung beramah mesra bersama ahli pengakap luar negara semasa majlis tersebut.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama peserta-peserta yang mengikuti Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama di Negara Brunei Darussalam.
Antara ahli-ahli Persekutuan Pengakap Brunei Darussalam yang menghadiri majlis itu.

Perhimpunan yang membawa tema, Satu ASEAN Satu Masyarakat di dalam Berpengakap, merangkumi empat kategori kegiatan iaitu eksplorasi dan fizikal, kebudayaan dan seni, khidmat masyarakat serta alam sekitar.

“Pengendalian perhimpunan yang berkonsepkan out-reach ini telah dijalankan serentak di keempat-empat daerah di negara ini, telah memberikan kesempatan kepada para peserta dan masyarakat setempat untuk berinteraksi secara langsung di dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan masyarakat di negara ini,” sembahnya.

Haji Awang Badar menyembahkan lagi bahawa dalam menyertai kegiatan-kegiatan yang dikendalikan itu, para peserta telah berjaya menghadapi segala-galanya dengan penuh kegigihan dan semangat yang jitu.

“Ini jelas tergambar keceriaan dan kepuasan pada wajah-wajah mereka semasa dan selepas mereka mengikuti kegiatan tersebut,” sembahnya lagi.

Beliau menyembahkan bahawa bagi kegiatan penjelajahan atau eksplorasi dan fizikal, para peserta telah berjaya untuk mengikuti kegiatan seperti berkayak di laut dan sungai, merentas hutan, pandu arah, memanjat tembok dinding batu serta ikhtiar hidup di hutan.

Manakala bagi kegiatan kebudayaan dan kesenian, mereka telah diajarkan sosiobudaya etnik tempatan di keempat-empat daerah di mana mereka diberikan tugasan untuk mempelajari dan mempersembahkan semula budaya puak mengikut daerah yang telah ditetapkan.

Bagi Daerah Temburong, peserta telah mempelajari budaya, tarian dan muzik Puak Murut, bagi Daerah Tutong, budaya Puak Kedayan, bagi Daerah Belait, budaya Puak Dusun dan bagi Daerah Brunei dan Muara, budaya Puak Brunei.

“Semua budaya dan muzik ini telah pun mereka persembahkan dengan penuh semangat semasa malam Pengakap Kelana yang telah didakan pada 15 Disember,” sembahnya.

Haji Awang Badar menyembahkan lagi bahawa dalam bidang khidmat kemasyarakatan, mereka telah menyumbangkan bantuan tenaga untuk membersihkan taman rekreasi dan rumah-rumah yang terpilih di kampung-kampung termasuk membersihkan sekitar kawasan Pusat Biodiversiti Marin di Meragang dan membersihkan beberapa ekor penyu yang terdapat di pusat berkenaan.

Beliau juga berkata bahawa kegiatan yang berkaitan dengan alam sekitar turut diberikan keutamaan di mana para peserta perhimpunan diberikan peluang untuk menanam sebanyak 400 anak-anak pokok tempatan seperti pokok Tolong, Kapur, Semalar dan Putih yang benihnya telah dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan.

Kegiatan penanaman pokok itu diadakan di Kampung Sungai Mau, Jalan Liang-Labi di Daerah Belait di mana kawasan itu merupakan sebuah kawasan penanaman pokok PPNBD yang telah diamanahkan oleh Jabatan Perhutanan untuk menanam dan memelihara kawasan seluas empat hektar bermula dari 2008.

Haji Awang Badar turut menyembahkan, “Selama 10 tahun ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam telah berjaya menanam sebanyak 3,100 anak pokok termasuk sebanyak 400 pohon anak pokok yang baru ditanam pada 16 Disember 2018.”

DYTM Pengiran Muda Mahkota kemudian dijunjung untuk menyempurnakan penganugerahan Anugerah Pengakap Sultan kepada 12 orang ahli Pengakap Remaja, Anugerah Baden Powell kepada lapan orang ahli Pengakap Kelana dan Anugerah Pengakap Sedunia kepada empat orang ahli Pengakap Kelana.

Selepas majlis penganugerahan Anugerah Tertinggi dalam Bahagian Pengakap Remaja dan Bahagian Pengakap Kelana, DYTM Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan untuk mengurniakan sabda Pengisytiharan Penutup Rasmi Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM Pengiran Muda Mahkota turut berkenan bergambar ramai dengan para peserta Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama dan menerima junjung ziarah daripada para ketua kontinjen serta jemputan khas Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama.

PPNBD dipilih secara sebulat suara untuk menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali Pertama semasa Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN ke-8 yang telah berlangsung di Tagum City, Davao, Filipina pada 27 November 2017.