Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam baru-baru ini, mengalu-alukan 18 orang wanita pada majlis perhimpunan yang bertujuan untuk meraikan pencapaian para wanita dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Para peserta terdiri daripada mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), ahli-ahli akademik dan kumpulan perusahaan sosial yang mempromosikan persekitaran mampan, Green Brunei.
Hadir pada sesi perhimpunan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.
Majlis merupakan satu peluang dan komitmen suruhanjaya tinggi terhadap penglibatan dan semangat untuk menyokong para wanita dalam pelbagai bidang.
Dalam sesi perbincangan, Puan Yang Terutama menyuarakan perasaan amat kagum dengan prestasi wanita yang menyerlah dengan beberapa pencapaian yang cemerlang.
Beliau turut menyentuh pencapaian Dr Malai Haniti binti Sheikh Abdul Hamid dari UBD dan sebagai salah satu sebab untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.
Dr Malai Haniti merupakan seorang wanita yang telah menerima anugerah pengiktirafan wanita berinovatif di negara sempena World Intellectual Property Day 2023.
Puan Yang Terutama turut memperkenalkan Penolong Profesor di Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid yang telah mendapat pengiktirafan atas sumbangan beliau sebagai Presiden Persatuan Sasterawan dan Pembaca Brunei.
Beliau menekankan kepentingan mengekalkan hubungan dalam pasukan dan memupuk persekitaran kerja yang baik.
Acara diakhiri dengan ucapan terima kasih daripada Puan Yang Terutama dengan berharap agar perhimpunan berkenaan dapat diambil sebagai inspirasi untuk memberikan kembali kepada masyarakat.


