Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Perhimpunan tahunan ini adalah peluang bagi semua warga organisasi dalam semua peringkat di Mahkamah-mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam untuk melihat semula progres dan kemajuan serta sebarang pencapaian yang telah dikecapi pada tahun 2024.
Ia juga bagi menyemak perkara-perkara yang belum dapat dilaksanakan untuk dinilai semula serta mencari punca-punca sebab kenapa ia belum dapat dilaksanakan untuk akhirnya diteruskan pelaksanaannya pada tahun ini.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perhimpunan Tahunan Pegawai-pegawai Mahkamah Syariah Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Di samping mengongsikan pencapaian dan perancangan Mahkamah Syariah, beliau turut mengongsikan statistik kes mal dan jenayah, sulh, pendaftaran perkahwinan, perceraian, pembatalan dan rujuk orang Islam di sepanjang tahun 2024.
Beliau menjelaskan bahawa bagi tahun 2024, sebanyak 1,340 kes mal telah didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 86.1 peratus atau sebanyak 1,160 kes telah berjaya diselesaikan.
Manakala bagi Mahkamah Tinggi Syariah, sebanyak 1,242 kes telah didaftarkan, dengan 1,132 kes atau 91.1 peratus telah selesai. Sementara itu, di Mahkamah Rayuan Syariah, sebanyak lapan kes telah didaftarkan, di mana tiga kes telah diputuskan dan lima kes lagi masih dalam proses penyediaan rekod rayuan.
Beliau turut mengongsikan bahawa bagi kes jenayah, sebanyak 752 kes telah didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah seluruh negara, dengan 83.2 peratus atau sebanyak 626 kes telah berjaya diselesaikan.
Katanya lagi, “Bagi Mahkamah Tinggi Syariah, sebanyak 22 kes telah didaftarkan yang mana sebanyak 11 kes iaitu 50 peratus telah selesai.
“Sementara bagi kes rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah, satu kes rayuan telah didaftarkan dan masih dalam peringkat penelitian Bahagian Pengurusan Kes Rayuan dan Semakan.
“Secara kesimpulan, dari sudut penyelesaian kes, Mahkamah Syariah telah mencapai KPI penyelesaian kes melebihi 85 peratus,” jelasnya.
Beliau turut mengongsikan kes kesalahan hudud yang melibatkan hukuman sebat, khususnya di bawah Bab 71(a) iaitu percubaan melakukan zina bagi muhsan, terdapat sedikit peningkatan dengan tiga kes didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah pada tahun 2024 berbanding dua kes pada tahun 2023.
Manakala bagi kesalahan di bawah Bab 71(b) iaitu percubaan melakukan zina bagi ghairu muhsan menurun kepada sembilan kes sahaja bagi tahun 2024 berbanding 20 kes pada tahun 2023.
Bagi kes-kes kesalahan yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah melibatkan hukuman sebat di bawah Bab 69(2)(b) iaitu zina bagi ghairu muhsan, terdapat peningkatan kepada empat kes pada tahun 2024 berbanding tiga kes pada tahun 2023.
Sementara tiada kes direkodkan pada tahun 2024 bagi kes zina muhsan berbanding satu kes yang berdaftar bagi tahun 2023.
Pengiran Mohammaddin menjelaskan, hanya 78 kes didaftarkan pada tahun 2024 oleh Unit Sulh secara keseluruhan, yang mana tiga kes di Mahkamah Tinggi Syariah, 57 kes di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Brunei Muara, tujuh kes di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Tutong dan 11 kes di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, sementara tiada kes Mahkamah Rendah Syariah Daerah Temburong.
Beliau dalam ucapan alu-aluan turut mengongsikan jumlah perkahwinan yang di daftarkan di seluruh negara pada tahun 2024, pendaftaran cerai, dan juga pembatalan nikah dan pendaftaran rujuk.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tayangan video yang menyelusuri program dan aktiviti Mahkamah Syariah sepanjang tahun 2024, diikuti dengan penyampaian sijil dan Piala Pusingan Ketua Hakim Bersama bagi tahun 2024. Penghargaan turut diberikan kepada pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah yang telah bersara serta mereka yang telah memberi perkhidmatan cemerlang.
Objektif utama majlis itu adalah untuk menggalakkan semangat kerja berpasukan dan mengeratkan silaturahim antara warga kerja mahkamah. Selain itu, ia juga memberi peluang untuk berkongsi pencapaian mahkamah-mahkamah syariah sepanjang tahun 2024 dan merancang aktiviti serta pencapaian bagi tahun ini.
Majlis tersebut merupakan acara tahunan yang mengumpulkan warga Mahkamah Syariah dari seluruh negara.