Oleh Adiiwira
Dalam kehidupan tidak pernah lari dengan perasaan cinta. Dengan adanya cinta, membuatkan seseorang merasakan perasaan gembira, sedih, keyakinan, dimiliki dan sebagainya.
Sehinggakan pelbagai definisi yang dikaitkan dengan cinta. Antaranya ada yang mendefinisikannya sebagai satu perasaan suka kepada seseorang atau sesuatu kerana daya tarikannya yang menarik hati. Bagi penulis, dalam perasaan cinta tidak hanya memadai dengan suka tetapi ia juga memerlukan perasaan kasih dan sayang. Hal ini kerana, ketiga-tiganya saling berkaitan dan jika salah satunya tiada perasaan cinta itu agak longgar sedikit.
Sepertimana yang dijelaskan oleh penulis dalam ruangan yang sudah, tema cinta ini sering digunakan dalam drama Melayu. Namun, tumpuan cinta ini berbeza ditujukan seperti cinta kepada Allah dan Rasulullah, cinta kepada ibu bapa, cinta antara lelaki dan wanita dan sebagainya.
Dalam ruangan minggu ini, terdapat dua buah drama baharu bagi penulis yang menggunakan tema percintaan dalam penceritaannya iaitu drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe yang disiarkan dalam di saluran TV3 dan drama komedi romantik Cinta Itu Fairy Tale yang ditayangkan di iflix.
Drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe merupakan drama arahan Heyfal Hanifah yang diterbitkan oleh Luqsar Kreatif Sdn Bhd dan skripnya ditulis oleh Siti Solehah Abdul Ghani. Drama ini dibintangi oleh Izzue Islam, Elisya Sandha, Issey Fazlisham, Scha Elinnea, Hariesa DFKL, Jasmin Hamid, Radhi Khalid dan ramai lagi.


Drama ini mengisahkan tentang Shira mendapati dirinya jatuh cinta pada Faizul, orang Kelantan dan dia bernasib baik kerana Faizul merasakan hal yang sama untuknya. Namun, Shira mula terancam oleh Sha yang memasak nasi kerabu sebaik ibu Faizul dan mereka sangat rapat. Sha cuba memisahkan Faizul dan Shira kerana dia mempunyai perasaan terhadap Faizul.
Shira, Yana dan Zetty, tiga orang gadis yang dikenali sebagai ‘awesome girls’ adalah antara gadis-gadis cantik di kolej. Di permulaan cerita mereka telah berselisih dengan pelajar master yang kacak bernama Faizul. Ketiga-tiga mereka terpegun tetapi semuanya hilang mood bila mula terdengar Faizul mula bercakap bahasa Kelantan yang agak pekat. Faizul tidak pandai berdialek bahasa Melayu standard.
Rakan baiknya, Arman biarpun berbeza jurusan namun mereka sama-sama gila mencari duit dengan bisnes. Faizul lebih gemar menjual secara bersemuka berbanding dengan Arman yang menjual macam-macam secara atas talian. Shira, Yana dan Zetty tinggal bersama di rumah sewa, mereka bersahabat karib dan mereka pernah berjanji dan saling mencabar ‘no boy no love’ sehingga tamat pengajian. Mereka bertiga terkenangkan Faizul. Mereka memikirkan bagaimana mahu memungkiri janji yang sudah dibuat.
Menyentuh pula mengenai drama Cinta Itu Fairy Tale yang menampilkan gabungan pelakon Malaysia dan antarabangsa seperti Eyka Farhana, Afifah Nasir, Haris Baba, dan Ikhsan Saleh dalam sebuah kisah cinta millennial.
Drama ini arahan Tam Suhaimi yang diterbitkan oleh Imaginal Pictures dan ditayangkan secara eksklusif dan percuma bermula 21 Mei lalu di Iflix.
Drama 13 episode ini mengisahkan tentang seorang gadis ‘instafamous’ yang bernama Nina Suraya mengalami kekalutan hidup selepas gagal dalam percintaan dan masih mencari jejaka idamannya yang disangka hanya hadir dalam dunia fantasinya. Segalanya berubah apabila beliau bertemu seorang lelaki misteri, yang mempunyai kriteria lelaki idamannya seperti yang tertera di dalam nota yang telah dilontar ke dasar laut.
Penulis tertarik dengan kedua-dua buah drama ini kerana memiliki persamaan penggunaan watak untuk menggerakkan cerita masing-masing. Penulis melihat, masing-masing menggunakan istilah peribahasa ‘perigi mencari timba’ iaitu watak wanita yang mencari cinta seorang lelaki.
Sebagaimana dalam penceritaan drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe, penulis drama ini menggunakan tiga watak wanita iaitu tiga orang sahabat, Shira, Yana dan Zetty yang menyukai seorang lelaki Kelantan bernama Faizul. Namun, watak wanita yang lebih ditonjolkan untuk memenangi hati Faizul digambarkan hanya pada watak Shira. Sama seperti dalam drama Cinta Itu Fairy Tale, penulis drama ini lebih menonjolkan watak utama yang diperan oleh Eyka Farhana untuk mencari cinta yang dicari selama ini. Justeru, jelas melalui kedua-dua drama ini menggunakan istilah peribahasa berkenaan, yang lebih menampilkan watak wa-nita sebagai watak yang mencari cinta berbanding dengan watak lelaki.
Malah yang menarik lagi, kedua-dua drama ini menonjolkan watak wanita yang ego dengan diri sendiri untuk tidak mencari cinta atau pasangan. Sebagaimana dalam drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe, ketiga-tiga wanita bersahabat itu kononnya saling berjanji dan saling mencabar ‘no boy no love’ sehingga tamat pengajian. Namun hakikatnya, mereka masing-masing memikirkan jalan untuk mungkir janji mereka setelah masing-masing terpikat dengan Faizul. Bagi watak Nina Suraya (Eyka Farhana), menurut penulis watak ego ini ditonjolkan dari sikap putus asa watak wanita berkenaan setelah melontar nota yang ditulisnya ke dasar laut akibat mengalami kekalutan hidup selepas gagal dalam percintaan dan masih mencari jejaka idamannya yang disangka hanya hadir dalam dunia fantasinya.
Namun, penceritaannya agak berbeza iaitu drama Cinta Itu Fairy Tale ini lebih menumpukan seorang wanita yang berkarier sebagai ‘instafamous’ berbanding dengan drama yang awal lebih menumpukan wanita yang terdiri dari mahasiswi kolej. Malah, gambaran jejaka yang dikejar juga berbeza, di mana watak Faizul lebih jelas digambarkan oleh penulis drama dan berbeza dengan drama Cinta Itu Fairy Tale yang lebih digambarkan sebagai lelaki misteri hanya digambarkan sebagai lelaki idaman Nina Suraya yang hanya hadir dalam dunia fantasi.
Secara kesimpulannya, ruangan ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan boleh saja setiap penonton memiliki pandangannya tersendiri. Namun bagi penulis kedua-dua drama ini tetap menarik untuk penonton kerana ceritanya tidak hanya mendatar mengisahkan tentang percintaan. Malah kedua-dua buah drama masih menyelitkan unsur humor (lucu) dalam penceritaannya.