Ramai orang masih tertanya-tanya, ‘Macam mana nak tahu angin tayar kereta cukup atau tidak?’ dan ‘Perlu ke selalu periksa angin tayar kereta?’
Jawapannya ya, memang perlu! Ini kerana angin tayar kereta yang terlalu kurang atau terlebih bukan sahaja akan menjejaskan prestasi tayar kereta, malah boleh membahayakan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.
Yang menariknya, awda tidak perlu periksa guna alat mahal atau ke kedai semata-mata nak tahu bacaan angin tayar kereta tu dalam keadaan baik atau tidak.
Ramai pemilik kenderaan tidak tahu, sebenarnya kita boleh periksa angin tayar kereta dengan mudah – guna mata sahaja! Hanya dengan tengok permukaan blok bunga tayar kereta yang menyentuh lantai, awda sudah boleh mendapatkan gambaran kasar sama ada tekanan angin tu cukup, kurang atau terlebih.
Kaedah ini memang sangat membantu, terutamanya kalau awda belum sempat singgah stesen minyak untuk pam tayar kereta atau berada di tempat yang jauh dari bengkel.



Jadi kalau awda nak tahu cara periksa tayar kereta dengan cara paling senang, artikel dari blog Carlist.My ini memang sesuai untuk awda. Tak perlu pening kepala cukup perhati, faham dan amalkan. Sangat praktikal untuk semua yang nak jaga angin tayar kereta tanpa leceh!
CARA PERIKSA ANGIN TAYAR KERETA
1. Tiga blok bunga tayar
Jika awda lihat tayar awda dan mendapati hanya tiga blok sahaja yang menyentuh lantai, itu menunjukkan tayar awda mempunyai tekanan angin yang terlalu tinggi (over-inflated).
Keadaan itu akan membuatkan tayar kereta awda menjadi terlalu keras, mengurangkan cengkaman tayar dan menyebabkan bunga tayar haus di bahagian tengah.
2. Empat blok bunga tayar
Sekiranya awda lihat empat blok bunga tayar pula yang menyentuh jalan, itu menandakan angin tayar kereta awda berada pada tahap yang baik dan selamat. Tekanan angin seperti itu memberikan cengkaman yang baik dan menjaga jangka hayat tayar.
3. Lima blok bunga tayar
Bagi tayar yang menyentuh lima blok pula, itu menunjukkan angin tayar kereta awda sedikit kurang daripada yang sepatutnya. Untuk jangka masa pendek, awda mungkin tidak akan merasai sebarang perubahan semasa memandu.
Namun, untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menjejaskan prestasi pemanduan dan mempercepatkan kehausan di bahagian sisi tayar. Awda disarankan untuk terus ke stesen minyak untuk pam tayar kereta dan dapatkan bacaan angin tayar kereta yang sesuai mengikut spesifikasi pengeluar.
4. Enam blok bunga tayar
Sekiranya awda dapati enam blok bunga tayar yang menyentuh jalan, itu menandakan bahawa angin tayar kereta sangat kurang (underinflated). Memandu dalam keadaan tayar kereta seperti situasi ini adalah berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Keadaan ini juga boleh menyebabkan tayar cepat rosak atau pecah semasa memandu, terutama jika memandu laju atau di lebuh raya.
Jadi, cara periksa tayar kereta yang paling mudah adalah dengan menggunakan mata sendiri terlebih dahulu.
Walaupun tidak setepat alat pengukur tekanan, kaedah ini sangat berguna sebagai langkah awal sebelum mengambil tindakan lanjut. Awda juga boleh gunakan alat pengukur digital atau manual di pam angin stesen minyak untuk mendapatkan bacaan angin tayar kereta yang lebih tepat.
Semoga perkongsian ini membantu awda memahami cara periksa angin tayar kereta dengan lebih mudah dan cepat. Jangan ambil ringan soal tayar ia bukan saja penting untuk prestasi, tetapi juga keselamatan pemanduan harian. – Agensi

