Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Saringan Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah telah berlangsung bermula hari ini dan disambung pada 3, 5, 7 dan 8 Februari.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama hari ini, musabaqah diadakan di Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Blok 2H, Tingkat 7 dan 8, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, di ibu negara. Sehubungan itu, peserta-peserta terlibat dinasihatkan hadir lebih awal pada tarikh dan waktu ditetapkan mengikut kategori masing-masing.
Kategori saringan pada hari ini dan esok ialah bagi peserta Kategori A dan B yang berlangsung bermula jam 8 pagi dan 1:45 petang. Bagi Kategori C pada 5 Februari, ia akan berlangsung pada jam 8 pagi dan 1:45 petang, manakala pada 7 Februari jam 8 pagi. Peserta Kategori D pula diminta hadir pada 7 Februari jam 1:45 petang dan pada 8 Februari jam 8 pagi.
Peserta Kategori E pula perlu menghadirkan diri pada 8 Februari jam 1:45 petang. Peserta atau orang ramai yang inginkan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi talian 2237512 atau 2233364.