Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah terjalin sekian lama.
Hubungan pertahanan itu telah terjalin sejak pendaratan tentera Australia 9th Division di Pantai Muara pada 10 Jun 1945 sebagai salah satu operasi penting untuk mendapatkan kembali kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Brunei semasa Perang Dunia Kedua.
Oleh itu, pengorbanan dan keberanian lelaki dan wanita yang bergelar anggota tentera Australia dan New Zealand terus diingat dan dihormati dengan rakyat dan penduduk kedua buah negara memperingati pengorbanan mereka itu di Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.
Sehubungan itu, kira-kira 100 orang warga Australia, New Zealand serta jemputan khas berkumpul pada awal pagi lagi untuk sama-sama memperingati pengorbanan tentera-tentera berkenaan dalam Majlis Memperingati Hari ANZAC yang diadakan di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara, hari ini.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum; Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Adam Edwards; Setiausaha Kedua Kedutaan Republik Turki, Ergun Kadak; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud serta para jemputan dan tetamu khas.
Di majlis berkenaan, bacaan puisi dan dedikasi disempurnakan oleh pegawai-pegawai kerajaan serta pegawai tentera dari Australia, New Zealand dan Turki dengan pasukan penghormatan dianggotai oleh anggota-anggota Tentera Udara Diraja Australia dan anggota Unit Simpanan Gurkha ABDB.
Majlis kemudian menyaksikan PYT Nicola Rosenblum, wakil Suruhanjaya Tinggi New Zealand, Pemerintah ABDB, dan wakil Kedutaan Republik Turki, meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.
Majlis peringatan itu juga menyaksikan bendera negara Australia dan New Zealand dikibarkan di kawasan tugu itu oleh dua orang pelajar dari Sekolah Antarabangsa Jerudong iaitu Hannah Bourbon dari Australia dan Oscar Power dari New Zeland bagi memperingati jasa-jasa tentera Australia dan New Zealand yang telah dan terus berjuang serta berkhidmat di seluruh dunia. Selepas majlis berkenaan, para jemputan khas dihoskan dalam majlis sarapan pagi memperingati Hari ANZAC. PYT Nicola Rosenblum dipetik menyatakan bahawa Hari Anzac merupakan hari yang penting bagi mereka kerana ia adalah bagi menghormati para pejuang yang telah membuat pengorbanan yang besar bagi kebebasan yang kita nikmati sekarang.
