Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perintah berkurung bagi 150,000 penduduk di Sepanyol ditamatkan

    MADRID, 11 MEI – Kira-kira 150,000 penduduk di bandar Vilanova i la Geltru dan empat komuniti berhampiran di barat daya Barcelona diarah berkurung selama beberapa jam selepas kebakaran di sebuah gudang industri menyebabkan pelepasan awan toksik klorin di kawasan itu kelmarin.

    Penduduk diarahkan kekal di dalam rumah serta menutup tingkap dan pintu sejak kelmarin sebagai langkah berjaga-jaga ketika pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran di loji berkenaan, yang mengandungi sehingga 70 tan tablet pembersih kolam renang, menurut unit perlindungan awam tempatan, lapor agensi berita Jerman dpa.

    Menurut akhbar El Pais, tablet itu bertindak balas dengan air yang digunakan untuk memadamkan api, lalu menghasilkan awan toksik.

    Perintah berkurung ditamatkan kira-kira 12:15 tengah hari, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sekatan baharu dikenakan, sementara mereka terus memantau keadaan.

    Penduduk turut dinasihatkan agar kekal berwaspada, terutama golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan individu yang menghidap penyakit.

    Kebakaran itu dilaporkan berjaya dikawal kira-kira 7 malam.

    Setakat 7:45 malam, Sistem Kecemasan Perubatan (SEM) merawat tujuh individu, termasuk dua dalam keadaan serius dan seorang dalam keadaan kritikal. – Bernama

    Gambar bertarikh 10 Mei 2025 menunjukkan kepulan asap keluar dari pintu masuk belakang bangunan yang terbakar di bandar pantai Vilanova i la Geltru, selatan Barcelona. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda