LOS ANGELES, 16 JUN – Perintah berkurung pada waktu malam di Los Angeles (LA) akan diteruskan “untuk beberapa hari lagi,” kata Datuk Bandar LA, Karen Bass kelmarin, pada hari kesembilan protes yang menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan tindakan keras disokong tentera.
Penunjuk perasaan mula berhimpun pada 6 Jun sebagai bantahan terhadap serbuan imigresen yang dilancarkan oleh pentadbiran Trump bagi menahan pendatang tanpa dokumen di bandar yang majoriti penduduknya berketurunan Latino di negeri California yang dipimpin Demokrat.
Demonstrasi berkenaan kebanyakannya berlangsung secara aman dan tertumpu di kawasan kecil di pusat bandar LA, namun dicemari beberapa insiden keganasan yang menarik perhatian dan dijadikan alasan oleh Trump untuk menghantar 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan dan 700 Marin.
Penghantaran luar biasa itu dilakukan walaupun dibantah oleh pegawai tempatan yang menegaskan keadaan masih terkawal.
Bass menguatkuasakan perintah berkurung bermula 10 Jun di kawasan pusat bandar bagi mengekang kejadian vandalisme dan rompakan.

Dia berkata kelmarin berharap jumlah individu yang mencetuskan kekacauan akan berkurangan.
“Jadi saya tahu perintah berkurung akan diteruskan sekurang-kurangnya beberapa hari lagi,” katanya dalam satu wawancara televisyen bersama saluran berita tempatan, KTLA, sambil menambah bahawa dia tidak dapat meramalkan dengan tepat berapa lama lagi.
“Kita tidak tahu berapa banyak serbuan akan berlaku, kita tidak tahu bagaimana bentuk serbuan itu dan setiap kali ia berlaku, ia benar-benar membangkitkan kemarahan di bandar ini,” katanya.
Trump, yang dilihat tidak terkesan dengan protes, kelmarin mengarahkan pihak berkuasa persekutuan meningkatkan usaha pengusiran, termasuk di LA.
Bass turut menyuarakan kemarahan dan ketakutan yang dicetuskan oleh serbuan yang dilakukan oleh agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di LA.
“Orang ramai takut untuk keluar dari rumah mereka,” katanya, sambil menambah bahawa serbuan tersebut kadangkala dirasakan ‘sewenang-wenangnya’. – AFP