Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perintah berkurung dikenakan di Manipur akibat keganasan etnik terbaharu

    NEW DELHI, 10 SEPT – Perintah berkurung dikenakan di tiga daerah di negeri terpencil di timur laut India, Manipur, hari ini berikutan keganasan etnik yang berulang.

    Daerah Imphal West, Imphal East dan Thoubal diletakkan di bawah perintah berkurung sehari selepas pelajar mengadakan protes besar-besaran di Lembah Imphal menuntut keamanan.

    Negeri yang mempunyai 3.2 juta penduduk itu kini menghadapi isu perpecahan etnik antara Meitei, yang membentuk lebih separuh daripada penduduk dan puak bukit, termasuk Kukis sejak tercetusnya keganasan berskala besar pada Mei tahun lepas.

    Terdapat beberapa serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan enam orang terbunuh dalam keganasan antara kedua-dua komuniti di daerah Jiribam minggu lalu.

    Polis Manipur berkata pada Sabtu ia menggunakan sistem antidron berikutan penggunaan dron dan roket dalam serangan militan.

    Wilayah itu dilanda ketegangan dan keganasan sejak mahkamah tinggi tahun lepas mengarahkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan memberi komuniti Meitei status Suku Berjadual, yang akan memberikan kuota Meitei dalam pekerjaan dan pendidikan tetapi puak bukit melihatnya sebagai menjejaskan hak mereka.

    Sekurang-kurangnya 225 orang terbunuh dan 60,000 tinggal di kem bantuan sementara sejak tercetusnya keganasan.

    Komuniti yang bertelagah kini tertumpu di zon berasingan manakala penempatan pasukan keselamatan secara besar-besaran berjaya mengawal keadaan yang tidak menentu ini. – Bernama

    Polis melepaskan peluru gas pemedih mata untuk menyuraikan pelajar yang mengadakan protes di Imphal, di negeri Manipur, timur laut India, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda