WASHINGTON, 16 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengeluarkan pe-rintah eksekutif hari ini yang bertujuan untuk mengukuhkan keselamatan siber negara dan mempermudah usaha untuk mengejar musuh asing atau kumpulan penggodam yang cuba mencemarkan sistem internet dan telekomunikasi AS.
Peruntukan dalam perintah itu menyatakan pembangunan piawaian keselamatan siber minimum untuk kontraktor teknologi kerajaan dan memerlukan kontraktor untuk mengemukakan bukti bahawa mereka mematuhi peraturan tersebut.
Ia juga bertujuan untuk memudahkan pihak berkuasa AS untuk mengenakan sekatan ke atas kerajaan asing yang mensasarkan AS dengan serangan siber, satu perubahan yang berlaku selepas beberapa insiden penggodaman baru-baru ini yang dikaitkan dengan China, Iran, Rusia dan Korea Utara. Antara perubahan lain, perintah itu membenarkan sekatan dikenakan ke atas penggodam asing yang mensasarkan hospital atau organisasi lain dengan perisian tebusan.
Perintah itu juga menghendaki agensi persekutuan untuk meningkatkan keselamatan siber bagi melindungi daripada ancaman yang dibawa oleh komputer kuantum yang berkuasa, yang menurut pakar siber boleh digunakan untuk merosakkan banyak sistem dengan mudah. Ini adalah isu yang boleh mempunyai implikasi keselamatan negara yang langsung sekiranya musuh asing membina komputer yang cukup canggih untuk merungkai kod-kod Amerika.
Rumah Putih mengeluarkan perintah itu beberapa hari sebelum Biden, seorang Demokrat, meninggalkan pejabat. Pentadbiran Presiden terpilih Republikan, Donald Trump, boleh membatalkan polisi tersebut dan menggantikannya dengan cadangan mereka sendiri.
Namun, penolong penasihat keselamatan negara, Anne Neuberger berkata bahawa dua tujuan perintah itu mengukuhkan keselamatan siber dan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan siber seharusnya mendapat sokongan bipartisan.
Perintah ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa “Amerika serius dalam melindungi perniagaan dan warganya,” kata Neuberger semasa memberikan taklimat kepada wartawan mengenai polisi baru tersebut.– AP