Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi perintah larangan di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah ke atas harta benda milik pasangan bekas kehakiman.
Harta benda ini termasuk wang simpanan di bank-bank tempatan di bawah nama Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan juga dua anak mereka; 19 kenderaan yang dibeli pada harga $3,203,655 dan 456 barangan mewah bernilai $1,316,274 seperti jam tangan, beg tangan, aksesori dan kasut milik kedua-dua tertuduh.
Harta benda ini dianggap sebagai harta tercemar dan boleh dipohonkan perintah rampasan di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah di kemudian hari.
Keputusan membenarkan permohonan pihak pendakwaan itu dibuat Hakim Gareth Lugar-Mawson.
Berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk kedua-dua tertuduh membayar kos pendakwaan, Hakim Lugar-Mawson menyuarakan rasa tidak berpuas hati yang mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar memandangkan terdapat wang $6 juta lagi yang disalahgunakan Ramzidah masih tidak dapat dikesan atau diketahui kedudukannya.
Kedua-dua tertuduh memilih untuk berdiam diri walaupun mempunyai banyak peluang untuk memaklumkan pihak berkuasa apa yang berlaku kepada wang itu ataupun wang itu sememangnya tidak lagi ada.
Walaupun Haji Nabil terlibat dalam kesalahan pengubahan wang haram dalam jumlah kecil berbanding $15.75 juta yang disalahgunakan, namun mahkamah melihat yang hakikatnya bahawa dia berkongsi sejumlah besar wang yang disalahgunakan oleh isterinya, dan turut menikmati gaya hidup yang mewah.
Hakim Lugar-Mawson memerintahkan Ramzidah untuk membayar kos pendakwaan sebanyak $1 juta dalam tempoh enam bulan atau dikenakan enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian.
Mahkamah juga memerintahkan Haji Nabil untuk membayar $500,000, juga dalam tempoh enam bulan dan sekiranya gagal akan menjalani tiga bulan penjara.
Hukuman penjara ini akan dijalankan selepas kedua-dua tertuduh selesai menjalankan tempoh penjara yang sedia ada.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini didakwa dengan kesalahan di bawah Bab 12 Akta Pencegahan Rasuah tetapi kesalahan-kesalahan ini telah digantung oleh Hakim Lugar-Mawson selepas pihak pendakwa raya menutup kes mereka.
Perintah penggantungan ini dibuat demi kepentingan keadilan kerana kesalahan ini memerlukan tertuduh untuk memberi keterangan bagi menjelaskan kemewahan mereka sedangkan undang-undang memberikan mereka hak untuk berdiam diri bagi kesalahan lain yang mereka hadapi.
Alasan perintah penggantungan itu kini berakhir dengan sabitan dan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.
Hakim Lugar-Mawson memerintahkan supaya penggantungan itu dibatalkan dan terpulang kepada pendakwa raya untuk menentukan sama ada meneruskan pendakwaan demi kepentingan keadilan atau sebaliknya.
Keputusan hanya akan dibuat setelah Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan kes.
Pihak pendakwa raya dalam kes ini diketuai Dato Seri Setia Davinder Singh SC dengan barisan timbalan pendakwa raya yang terdiri dari Hajah Suriana binti Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman dari Pejabat Peguam Negara, dan juga Navin Thevar dari Davinder Singh Chambers LLC, Singapura.
Mewakili kedua-dua tertuduh ialah Simon Farrell QC dan Sheikh Noordin Sheikh Mohammad.