Perintis Amazon berdepan realiti mencabar

SANTAREM – Maria Helena Locatelli telah dijanjikan tanah dan masa depan yang lebih baik di kawasan hutan hujan Amazon, akan tetapi Maria hanya mendapat kesusahan ketika dia tiba di utara Brazil pada tahun 1972 bagi memulakan kehidupan baharu.

Locatelli merupakan sebahagian daripada perintis yang berpindah ke pinggir lebuh raya Trans-Amazon, selepas ia dibina oleh pemerintah diktator tentera bagi mengisi rantau tersebut dengan penduduk yang sering terdedah kepada pencerobohan asing.

Di bawah slogan ‘Give land without men to men without land’, pihak kerajaan telah menjanjikan tanah pedalaman kepada penduduk miskin 100 hektar dan rumah jika mereka berpindah ke kawasan hutan hujan itu.

“Ia tidak benar, ia adalah satu pembohongan yang besar,” kata Locatelli yang tinggal di Rio Grande Do Sul ketika dia bersama bekas suaminya, Orlando mendengar makluman dari pihak kerajaan di radio untuk berpindah ke Amazon, yang terletak hanya beberapa ribu kilometer jauhnya.

Locatelli berusia 25 tahun ketika itu dan mengandung anak kembar ketika pasangan itu berpindah ke kawasan tersebut. Keadaan sangat teruk malah dia telah menjual rumah dan segala isi di dalamnya. Locatelli berkata bahawa mereka tidak mampu untuk kembali. Selama berbulan-bulan, mereka tidur di lantai tanah di sebuah gudang bersama dengan pendatang-pendatang baharu yang lain.

Locatelli merupakan sebahagian perintis yang perintis yang berpindah ke pinggir lebuh raya Trans-Amazon. – AFP

Akhirnya mereka menerima satu blok berhampiran Ruropolis – perjalanan selama tiga jam dari Santarem, di mana dia tinggal sekarang – akan tetapi rumah dan perabot yang dijanjikan oleh pihak kerajaan tidak pernah ada. Tidak ada air yang mengalir, penyakit malaria berleluasa dan hasil tanaman mereka juga gagal untuk subur.

Bekas suami Locatelli telah membeli gergaji bagi memotong pokok di kawasan kediaman mereka dan memperoleh wang dengan membersihkan tanah untuk orang lain. Ia adalah satu permulaan dalam penebangan hutan yang berleluasa di rantau tersebut bagi kegiatan penternakan lembu dan penanaman gandum yang semakin merebak jauh ke dalam hutan hujan Amazon.

Dalam beberapa bulan, Orlando mengalami cedera parah dalam kemalangan semasa pemotongan pokok sehingga menyebabkan salah seorang rakannya terkorban sehingga menyebabkan Locatelli berusaha keras mencari nafkah keluarga.

Locatelli mendaftar dalam kursus latihan guru dan bekerja di sekolah masyarakat di pinggir jalan. Locatelli berasa bersyukur kerana keluarga yang lain merasakan lebih teruk berbanding dirinya. “Saya terpaksa berusaha keras dan berdiri teguh menghadapi kehidupan ini,” katanya. “Saya tidak akan membiarkan keluarga saya lapar,” tambahnya.

Walaupun detik kesusahan di Amazon masih segar dalam ingatannya, namun Locatelli berkata bahawa dia amat sedih melihat aktiviti penebangan hutan yang semakin berleluasa dan kebakaran hutan Amazon yang memusnahkan habitat hutan.

Penebangan pokok di Amazon berleluasa sehingga dua kali ganda dalam masa lapan bulan, berbanding pada tempoh yang sama tahun 2018. Kebakaran hutan Amazon baru-baru ini mencetuskan bantahan antarabangsa dan aktiviti penebangan hutan telah dipersalahkan. – AFP