Oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
SEMPENA menyambut awal tahun baru Masihi 2017, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah khususnya kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam supaya menghargai sejarah negara ini untuk dijadikan rujukan dan ristaan generasi Brunei masa akan datang. Kepentingan sejarah kepada ketamadunan manusia telah banyak kali dititahkan sebagai asas rujukan dan guru sepanjang zaman. Menurut Baginda, sekali lagi, rakyat dan penduduk negara ini akan menempuhi satu peristiwa bersejarah yang amat penting iaitu sempena memperingati 50 tahun Baginda Menaiki Takhta Kerajaan iaitu pada 5 Oktober 2017.
Ristaan sejarah masa yang lalu ini, kebanyakannya tidak diketahui oleh rakyat dan penduduk negara ini khususnya generasi muda masa kini. Peristiwa ini adalah detik penting dalam sejarah moden Negara Brunei Darussalam yang dikenali sebagai peristiwa 4 Oktober 1967. Ianya adalah detik bersejarah bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di mana rakyat telah digemparkan dengan siaran pengumuman Radio Brunei yang dibaca oleh Yang Teramat Mulia Seri Paduka Duli Pengiran Pemancha selaku Ketua Adat Istiadat Negara bahawa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei yang ke-28 turun dari Singgahsana Kerajaan Brunei. Teks pengisthiran turun takhta ini telah dibaca sendiri oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada pagi 4 Oktober, jam 10 pagi dalam satu Majlis Perhimpunan Wazir-Wazir, Cheteria-Cheteria, Pehin-Pehin Menteri termasuk Menteri-Menteri Pendalaman.
Majlis ini telah berlangsung di Balai Pemanjangan Indera Kenchana, Istana Darul Hana, Bandar Brunei. Maka pada esoknya 5 Oktober 1967, jam 3 petang di Balai Singgahsana Istana Darul Hana telah berlangsung Istiadat Pertabalan Duli Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah menjadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan Brunei yang Ke-29. Maka inilah peristiwa sejarah yang akan kita raikan bermula dari 5 Oktober 2017.
Perayaan dan sambutan yang kita adakan adalah sebagai satu penghargaan pada sejarah dan tanda kesyukuran kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana sudah hampir 50 tahun rakyat dan penduduk negara ini telah menikmati laila keamanan dan laila kemakmuran dibawah payung pemerintahan Baginda Sultan. Sebagaimana titah Baginda:
Menjelang tahun 2017 ini, akan berlaku satu lagi sejarah, apabila InsyaAllah, negara akan merayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Beta menaiki takhta. Sambutan ini sangat besar ertinya, sebagai cara, untuk kita menghargai sejarah.
Dalam perayaan yang dirancang, Beta berharap semua pihak akan mengamalkan sifat bersederhana. Apa yang penting ialah perayaan atau sambutan sebagai sifatnya ‘petanda’ bagi sejarah. Sejarah adalah ‘lidah’ zaman, yang akan berkata-kata kepada generasi demi generasi tanpa pernah mengenal penat atau bosan. Itulah harga sejarah.

Kenyataannya, sepanjang hampir lima dekad dibawah kepimpinan Baginda rakyat dan Negara Brunei Darussalam telah mencapai berbagai kemajuan dan pembangunan dalam semua bidang berdasarkan ikrar sulong Baginda 50 tahun yang lalu untuk meneruskan dasar-dasar Paduka Ayahanda Baginda bagi memelihara keamanan, ketenteraman dan kemakmuran, untuk meningkatkan taraf hidup, memelihara Ugama Islam dan adat istiadat demi kesejahteraan rakyat Negera Brunei Darussalam.
Sejarah telah membuktikan detik-detik penting yang telah dilalui oleh rakyat dan negara ini di sepanjang 50 tahun pemerintahan Baginda. Pada peringkat awal pemerintahan Baginda tugas utama yang perlu dilaksanakan ialah mengembalikan kedaulatan negara dari naungan Kerajaan British. Perjuangan ke arah kemerdekaan adalah merupakan era yang mencabar yang berlangsung selama 17 tahun sehingga Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1984.
Oleh itu, melalui Rancangan Pembangunan Negara (RKN) yang Kedua dan ketiga sebelum merdeka berbagai-bagai pembangunan dan kemajuan telah dicapai dalam bidang pentadbiran, agama, ekonomi dan sosial dalam persediaan pengambilan semula pentadbiran Negeri Brunei dari Naungan Britsih khususnya dari segi hubungan luar dan pertahanan.
Meskipun dari segi pentadbiran bentuk pentadbiran tradisi diteruskan di mana Sistem Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan masih mengetuai Ketua Pentadbiran Kerajaan yang menjurus kepada kepimpinan Baginda Sultan. Namun sebagai persediaan untuk mengambil semula kedaulatan Negeri Brunei perjanjian kerjasama dan persahabatan dengan kerajaan Baginda Queen telah termetri pada tahun 1971 dan 1979. Negeri Brunei telah diberi tempoh masa persediaan lima tahun untuk mengambilalih secara keseluruhan kuasa pemerintahan Negeri Brunei dari kerajaan Baginda Queen.
Pencapaian kemerdekaan Negara Brunei Darussalam adalah kemuncak kejayaan yang paling bermakna bagi setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap warga Brunei yang memahami erti kemerdekaan sebenarnya. Mungkin kita tidak menyedari ada susuk-susuk tubuh yang mengeluarkan air mata ketika menjelangnya detik bersejarah pada malam 31 Disember 1983, tepat pada jam 12 tengah malam.
Sebagai tanda kesyukuran anugerah Allah Subhanahu Wata’ala, maka pada 31 Disember 1983, sebelum Maghrib orang ramai telah datang berduyun-duyun ke Masjid Omar Ali Saifuddien dari semua daerah, sama ada pendalaman, kampung dan desa turut serta meraikan detik yang bersejarah ini.
Kesemuanya hadir untuk menghadiri Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Selamat sebagai tanda kesyukuran bagi menyambut perayaan pengisytiharan kemerdekaan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 jam dua belas satu pagi. Manakala laungan takbir “Allahuakbar” sebanyak tiga kali oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang disambut oleh suara gemuruh orang ramai dan rakyat jelata yang berjumlah hampir 30,000 orang yang membanjiri kawasan pentas dan padang Sir Omar Ali Saifuddien pada malam itu.
ALLAHU AKBAR dan MERDEKA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 1984 yang ditulis dalam tulisan jawi dan rumi yang menghiasi Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien pun dinyalakan dengan diiringi oleh pukulan hadrah serta tembakan meriam sebanyak dua puluh satu das. Selepas itu Doa Selamat dibaca oleh Mufti Kerajaan Brunei.
Dengan pengisytiharan kemerdekaan ini, sejarah telah mencatatkan bahawa rasmilah Brunei menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka dan berdaulat. Dan mulai dari saat ini, Negara Brunei Darussalam dengan sendirinya memikul satu tanggungjawab yang berat, iaitu mengenai hal ehwal antarabangsanya yang selama ini di kendali oleh Kerajaan Baginda Queen.
Pencapaian kemerdekaan pada tahun 1984 yang menandakan berakhirnya naungan British terhadap Brunei yang bermula sejak tahun 1888 Masihi.
Pemasyhuran 1 Januari 1988 telah membuka lembaran baru dalam sistem pemerintahan ala demokrasi Brunei yang berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Satu kerajaan telah dibentuk dan disusun berdasarkan Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang telah menjalani beberapa pindaan kecil berdasarkan kuasa-kuasa yang diberikan kepada Sultan dalam Bab 8(3).
Kerajaan yang dibentuk selepas merdeka menggunakan sistem berkementerian yang diketuai oleh Perdana Menteri di mana Baginda Sultan berperanan sebagai Ketua Negara dan pada masa sama sebagai Ketua Kerajaan.
Selaras dengan perkembangan politik dunia antarabangsa, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan memainkan peranan yang penting di peringkat kerjasama serantau dan antarabangsa dalam mewujudkan keamanan dunia sejagat. Setelah merdeka, negara ini telah diiktiraf statusnya sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang digalati serta telah berupaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat antarabangsa yang lain.
Dalam hal ini tidak dinafikan bahawa Negara Brunei Darussalam telah dapat melaksanakan dan memikul tanggungjawabnya sebagai negara yang merdeka dan berdaulat dengan menganggotai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.
Oleh itu, sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Menaiki Takhta Kerajaan, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mengucapkan syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dianugerahkan dengan satu sistem pemerintahan beraja yang menjadi sumber kesejahteraan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dan bernegara. Warisan kebruneian yang berpaksi nilai-nilai Melayu Islam Beraja telah mengujudkan hubungan yang rapat antara rakyat dengan raja berlandaskan Adat Istiadat Diraja Brunei.
Inilah keunikan Brunei yang tidak dimiliki dan di amalkan oleh mana-mana negara di dunia ini di mana tidak ada batasan hubungan antara rakyat dengan rajanya. Mereka adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku yang tidak dapat dipisahkan yang senantiasa saling memerlukan antara satu dengan lain, ibarat aur dengan tebing, demi pengukuhan dan kestabilan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Dalam hal ini keprihatinan dan pemedulian Baginda Sultan dalam mengelinga kebajikan rakyat demi mengujudkan keamanan dan kemakmuran negara ini adalah merupa amalan turun temurun yang menggambarkan kecantikan sistem beraja di bumi Brunei Darussalam.
Tanpa mengirakan masa, waktu dan tempat baginda akan turun ke padang, dalam istilah bersama berbasah dan bekaring bersama rakyat dalam sama-sama memikul dan menyelesaikan permasalahan rakyat baginda.
Hubungan yang rapat dan mesra tanpa batasan protokol seperti di kalangan masyarakat antarabangsa adalah merupakan satu keunikan dalam sistem pemerintahan beraja yang membuktikan kewujudan laila aman, laila makmur dan bahagia di bumi Brunei Darussalam. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.