Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peristiwa 40 tahun lalu masih hantui masyarakat Sardasht

    SARDASHT, IRAN – Tiga puluh tiga tahun telah berlalu, namun orang-orang yang terselamat daripada serangan gas beracun Iraq di bandar Iran, Sardasht masih menderita dan berjuang demi mendapatkan pengiktirafan dunia terhadap serangan maut yang mengerikan itu.

    “Jika seseorang kehilangan kaki atau lengannya dalam peperangan, anda boleh memberikannya anggota badan palsu,” kata Saleh Azizpour, yang mengetuai persatuan untuk mangsa-mangsa serangan tersebut. “Namun apabila paru-paru kita hangus, siapakah yang akan bernafas untuk kita?” soalnya.

    Tehran telah memperingati ulang tahun ke-40 Iran diserang oleh pemimpin Iraq, Saddam Hussein, yang telah melancarkan peperangan yang berpanjangan sehingga lapan tahun.

    Serangan gas beracun Iraq pada 28 Jun 1987 ke atas Sardasht, bandar Kurdish di barat laut Iran, dianggap sebagai serangan pertama senjata kimia yang ditujukan dengan sengaja ke atas orang-orang awam di kawasan bandar.

    “Orang-orang yang maut dan tercedera adalah dari usia tiga bulan hingga ke 70 tahun,” kata Azizpour. “Semuanya adalah orang awam.”

    Gambar yang diambil pada 14 Sept, menunjukkan pemandangan di bandar Sardasht, Wilayah Azerbaijan, Barat Iran. – AFP
    Ali Mohammadi, seorang penjaja di jalanan yang tercedera semasa serangan senjata kimia ketika peperangan Iran-Iraq, berdiri di sebelah kereta sorongnya. – AFP
    Seorang lelaki Kurdish Iran melawat perkuburan mangsa-mangsa yang maut dalam serangan senjata kimia ketika peperangan Iran-Iraq, di Sardasht, wilayah Azerbaijan, Barat Iran. – AFP

    Angka rasmi mencatatkan 119 orang maut, manakala 1,518 lagi tercedera. Tetapi, menurut Azizpour, yang berusia 25 tahun ketika serangan itu, lebih ramai lagi sebenarnya yang terjejas.

    Lebih kurang 8,000 orang telah terdedah kepada apa yang para pakar katakan sebagai gas mustard dan orang-orang yang terselamat masih bergelut dengan komplikasi kesihatan jangka panjang.

    “Sehingga ke hari ini, kadang-kadang terasa banyak tekanan pada paru-paru saya.. sehingga membuat saya tidak dapat tidur,” ujar Mahmoud Assadpour, seorang guru yang berusia 50 tahun.

    Impak daripada pandemik koronavirus, yang melanda Iran dengan hebat, menjadi ancaman kepada mangsa-mangsa yang terselamat itu, kata Rojane Qaderi, seorang doktor yang mengetuai jaringan kesihatan awam di Sardasht.

    “Kerana sistem imun badan yang lemah… peluang mereka untuk hidup adalah rendah,” kata Qaderi.

    Mangsa-mangsa serangan yang terselamat telah diarahkan untuk tidak meninggalkan kediaman mereka demi melindungi diri mereka daripada virus.

    Seolah-olah di dalam sangkar

    “Kami berada di dalam rumah, kami tidak keluar, seolah-olah kami berada di dalam sangkar,” kata Mohammad Zamani, 59, yang masih ingat akan “bunyi letupan kecil” semasa kelongsong-kelongsong gas itu dijatuhkan.

    Isterinya, Leila Marouf Zadeh, ketika itu bertugas sebagai jururawat sukarela. Dia masih ingat bunyi tangisan daripada orang-orang yang tercedera di hospital lapangan, memohon bantuan, ramai daripadanya adalah terdiri daripada kenalan-kenalannya.

    Kulit badan sesetengah mangsa bertukar kemerah-merahan akibat melecur terkena gas tersebut. “Sesetengahnya pada bahagian dada, manakala yang lain pula pada keseluruhan tubuh me-reka,” katanya.

    Setelah beberapa jam membantu merawat mangsa-mangsa yang terselamat, dia pun akhirnya merasa impaknya yang memedihkan. Gas itu telah menyebabkan matanya buta sementara.

    Rassoul Malahi, seorang petani yang telah bersara dan menggunakan alat pernafasan artifisial untuk bernafas, memberitahu kisahnya yang sama. Dia telah menjadi “buta keseluruhan” selama 18 hari.

    “Kesan daripada gas mustard itu adalah berkekalan,” kata Qaderi. “Ia memberikan kesan terhadap atau memusnahkan paru-paru. Anda harus belajar hidup dengannya.”

    Antara simptom-simptomnya termasuk mata sakit dan bengkak, kulit gatal dan kemerahan, serta nafas singkat, kesukaran untuk bergerak dan keletihan, ujarnya. Kini timbul pula masalah lain. Semenjak Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Iran pada 2018, bekalan ubat-ubatan sukar untuk didapati untuk mangsa-mangsa yang terselamat tersebut.

    Masyarakat antarabangsa berdiam diri

    Saddam Hussein sudah mula menggunakan senjata-senjata kimia ke atas Iran sejak dari 1982 lagi. Walau bagaimanapun, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya mula mengecam “penggunaan senjata-senjata kimia” pada 1986 semasa konflik tersebut. Meskipun begitu, ia tidak meletakkan kesalahan itu khusus kepada Iraq.

    Perkara yang sama juga berlaku se-telah serangan ke atas Sardasht. Para mangsa yang terselamat berkata respons yang lemah daripada masyarakat antarabangsa adalah seolah-olah menyokong serangan tersebut.

    Lima daripada ahli-ahli kekal pemegang veto Majlis Keselamatan PBB iaitu Britain, China, Perancis, AS dan, pada 1987, Soviet Union semuanya menyokong Iraq. Beberapa syarikat dan kerajaan barat telah dituduh menjadi penyumbang kepada program senjata Iraq pada 1980an.

    Hari ini, bandar Sardasht mempunyai seramai 46,000 orang penduduk, dibandingkan dengan hampir 18,000 orang pada 1987, yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Islam Sunni dan minoriti Kurdish.

    Bandar itu, dengan rumah-rumah sederhana beratap rata yang dibangun di kawasan lereng bukit, dikeliling oleh ladang-ladang.

    Dengan sekali pandang sahaja, kesan-kesan peninggalan daripada apa yang telah berlaku di sana tidak berapa kelihatan. Hanya sebuah bangunan komersial, yang mana bahagian tingkat atasnya rosak akibat bom, yang memberikan petanda.

    Pada waktu itu, kapal terbang perang Iraq sering menjatuhkan bom ke atas bandar itu, yang jaraknya dekat dengan sempadan Iran. Orang ramai masih lagi ingat dengan bunyi-bunyi letupan yang membingitkan telinga itu.

    Namun pada petang di bulan Jun, ketika kelongsong-kelongsong gas dijatuhkan di empat kejiranan yang berlainan, ia jatuh tanpa menghasilkan bunyi letupan yang menakutkan.

    “Saya ternampak debu putih yang berbau seperti bawang putih reput,” kata Zamani. Dia tahu apa sebenarnya debu putih itu, kerana dia sendiri pernah melihatnya semasa menjadi tentera di barisan hadapan pada 1984.

    “Saya merupakan orang pertama yang mengatakan itu adalah bom kimia, kerana saya pernah mengalaminya sebelumnya di barisan hadapan,” katanya.

    Walau bagaimanapun, ramai yang tidak percaya bahawa gas beracun itu akan digunakan ke atas orang awam. Oleh itu mereka hanya membuat apa yang telah diperintahkan untuk memastikan diri mereka selamat semasa serangan bom konvensional, mereka mencari tempat bersembunyi di sana atau di tempat-tempat perlindungan di bawah tanah.

    Namun, gas beracun itu dengan cepat sahaja sampai kepada mereka. Sesetengah daripada mereka yang tersedar tentang apa sebenarnya yang berlaku cepat-cepat melarikan diri, se-perti Ali Mohammadi, yang kini berusia 56 tahun, seorang penjual keju di jalanan.

    Kembali selepas beberapa jam, dia disambut dengan pemandangan yang mengerikan.

    “Di hadapan bangunan palang merah, banyak mayat dikumpulkan,” katanya, dengan suara yang penuh emosi mengenangkan peristiwa itu.

    Satu simbol

    Apabila Saddam Hussein ditangkap pada 2003, Assadpour berkata dia berasa ‘gembira’ Walau bagaimanapun dia ‘kecewa’ apabila mendengar bahawa pemimpin tersebut dihukum mati tanpa dibicarakan kerana serangan gasnya ke atas Sardasht.

    Pada 2005, Marouf Zadeh telah memberikan keterangan yang menyentuh perasaan di mahkamah Belanda semasa perbicaraan Frans van Anraat, seorang ahli perniagaan yang didapati bersalah kerana menjual bahan-bahan kimia yang digunakan oleh Iraq dalam serangan gas yang mengerikan tersebut.

    Van Anraat telah dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun atas dakwaan berkomplot dalam jenayah perang yang berhubungkait dengan serangan senjata kimia, kedua-duanya di Sardasht dan bandar Kurdish di Halabja, di mana hampir 5,000 orang maut dalam serangan pada Mac 1988.

    Walau bagaimanapun sementara perbicaraan itu memberikan sedikit perasaan lega kepada mangsa-mangsa, ia tidak melemahkan keinginan mereka untuk mendapatkan keadilan.

    Demikian itu para mangsa yang terselamat telah menjalankan kempen untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa tentang apa yang telah terjadi di Sardasht.

    Mereka mahu menjadikan bandar itu sebagai satu ‘simbol’, seperti Hiroshima yang telah dimusnahkan oleh bom atom milik AS, memberikan amaran agar ‘perkara tersebut tidak berlaku lagi.’ – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda