Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peristiwa hijrah inspirasi kehidupan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    TUTONG, 9 JULAI – Lebih 60 peserta Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Tutong telah menghadiri Ceramah Khas Sempena Ilal Hijrah 1447, yang berlangsung di Masjid Kampung Layong, hari ini.

    Acara anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah, dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Layong, merupakan salah satu inisiatif dalam menyemai nilai-nilai murni Islam serta memperkukuhkan ukhuwah dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam, khususnya para muslimah.

    Ceramah khas ini bertujuan memberikan pemahaman yang mendalam mengenai peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Madinah.

    Acara tersebut juga menyeru para peserta agar mengambil iktibar daripada peristiwa bersejarah tersebut sebagai inspirasi untuk membina kehidupan lebih baik serta menghadapi cabaran masa kini dan masa depan dengan lebih cemerlang.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.

    Ceramah khas kemudiannya disampaikan oleh Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Ugama Daerah Tutong, Haji Azman bin Haji Musa yang menyentuh pelbagai aspek hijrah serta kaitannya dengan pembangunan rohani dan sosial umat Islam.

    Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Layong, Haji Mohd Nazelley bin Noorashid.

    Melalui acara ini, pihak penganjur berharap semangat hijrah dapat dijadikan asas pembentukan masyarakat yang beriman, berilmu, dan berakhlak mulia, serta menyuburkan budaya saling menyokong dalam menghadapi cabaran semasa.

    Haji Azman semasa menyampaikan Ceramah Khas Sempena Ilal Hijrah 1447 di Masjid Kampung Layong. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda