Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah, Jabatan Pengajian Tinggi dan Pusat Pendidikan Cerdas, Pintar dan Berbakat telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1445H/2024M yang berlangsung di Dewan Multimedia Theatre, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), kelmarin.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap (pengajian tinggi dan pendidikan teras), Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dengan doa dipimpin oleh Imam Tingkat I, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Haji Mohd Amaluddin bin Haji Jamaluddin.
Majlis diserikan lagi dengan tazkirah khas bertajuk Ibrah Peristiwa Israk dan Mikraj: Jaga Solat yang bertepatan dengan tema Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1445H/2024M, yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.
Antara tujuan ceramah khas itu ialah supaya warga Kementerian Pendidikan memperingati dan mengambil iktibar serta pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW.
Majlis itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dalam sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.