Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peristiwa sepanjang bulan Mac-April 2022

    Oleh Yusrin Junaidi

    Meskipun masih di bawah ancaman penularan wabak COVID, Negara Brunei Darussalam terus berkembang maju dalam pelbagai bidang yang dapat diimbau melalui pencapaian dan peristiwa sepanjang bulan Mac dan April 2022.

    Sorotan peristiwa bulan Mac

    Pada awal bulan Mac 2022, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan mengurniakan lencana pangkat mejar jeneral kepada Brigadier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan serta berkenan melantik beliau sebagai Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-12, yang berlangsung di Istana Nurul Iman.

    Mesin layan diri kit ART diperkenalkan

    Bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan kit ujian pantas antigen (ART), Kementerian Kesihatan telah mengongsikan lokasi-lokasi mesin layan diri yang menjual kit ART.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara lokasi-lokasi tersebut seperti di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Universiti Brunei Darussalam, BIBD Connect Lambak dan sebagainya. Di Daerah Tutong boleh didapati di Hua Ho Tutong, manakala bagi Daerah Temburong di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam dan bagi Daerah Belait di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

    Trak jatuh akibat jalan bergerohong

    Pada 7 Mac 2022, negara telah digemparkan dengan tularnya video dan gambar melalui WhatsApp dan Facebook yang menunjukkan sebuah trak jatuh ke dalam jalan raya yang berlubang di Lebuh raya Muara-Tutong.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Istana Nurul Iman. – Gambar fail
    Salah sebuah mesin layan diri yang menjual kit ART. – Gambar fail
    Sebuah trak pemborong jatuh ke dalam jalan raya yang berlubang di Lebuh raya Muara-Tutong. – Gambar fail
    Sebanyak 199kg tongkeng ayam telah dirampas kerana dipercayai tiada memiliki Permit Import Halal dengan dua suspek disyaki terlibat dalam kes tersebut turut disiasat. – Gambar fail
    Mayat seorang remaja lelaki tempatan yang dipercayai diheret oleh buaya telah dijumpai di kawasan Lubok Sigurun lebih kurang 1.5 kilometer mengikut laluan sungai dari tempat kejadian. – Gambar fail

    Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan menyatakan, kejadian itu berlaku semasa trak pemborong sedang melaksanakan kerja-kerja melapis semula jalan-jalan yang rosak di bahagian lorong sebelah kanan hala Berakas, apabila sebahagian jalan itu, tiba-tiba retak dan telah mengakibatkan trak pemborong jatuh ke dalam rekahan jalan.

    Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID-19

    Pada 8 Mac, pelbagai isu berkaitan pengurusan kes COVID, prosedur operasi standard (SOP), pendidikan dan vaksinasi kanak-kanak telah dizahirkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan mengurniakan titah pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Istana Nurul Iman.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam telah berhadapan dengan wabak COVID sejak bulan Mac 2020. Pada masa itu, seluruh rakyat belum mempunyai dinding pertahanan terhadap imuniti dalam menghadapi wabak ini.

    Namun, titah Baginda lagi, pada 7 Ogos 2021 telah timbul kes-kes tempatan pertama yang mengakibatkan terjadinya gelombang kedua pandemik di negara ini. Langkah-langkah pengawalan telah diperketat semula sebagai respons untuk mengawal wabak daripada terus merebak.

    Baginda juga bertitah bahawa negara telah beralih dari Fasa Pandemik ke Fasa Awal Endemik sejak 15 Disember 2021 iaitu apabila Program Vaksinasi Kebangsaan telah mencapai 80 peratus.

    Begitu juga mengenai kematian, ada yang dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan disebabkan COVID. Apa pun kategorinya, menurut Baginda, semua itu tetap membimbangkan kerana tidak siapa pun yang mahu untuk dijangkiti sama ada berupa kategori 1 atau 2.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil maklum bahawa negara telah berusaha untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan penduduk dengan memberikan vaksinasi di mana lebih 94 peratus telah menerima dua dos vaksin dan lebih 56 peratus pula bagi dos ketiga atau penggalak yang kesannya mengikut kajian luar negara dapat mengurangkan gejala COVID.

    Baginda mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah merangka beberapa strategi bagi memastikan penularan COVID dapat dikawal dan dalam masa yang sama membolehkan rakyat dan penduduk menjalani kehidupan dalam norma baharu, dapat menjana pendapatan dan menjamin pekerjaan.

    Daie perlu diperkasa

    Pada 24 Mac, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah sebelum cadangan meramaikan daie berbangkit, sepatutnya daie yang sedia ada dikelinga dan diperkasa kualiti mereka terlebih dahulu.

    Baginda menegaskan perkara itu semasa berkenan bertitah pada lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah (PDI), yang mana PDI merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berperanan penting untuk menentukan syiar Islam menyerlah di negara ini.

    Baginda turut menekankan bahawa cara untuk menggelinga dan memperkasa adalah seperti mewujudkan skim latihan daie yang membolehkan pegawai berkenaan diberikan latihan bagaimana untuk melakukan dakwah dengan berkesan.

    Semasa lawatan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan PDI tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab yang besar dan pusat tersebut belum dapat menangani tanggungjawab tersebut disebabkan beberapa faktor kelemahan terutama dari sudut penstrukturan jawatan yang belum teratur.

    Perjalanan keluar dan masuk lebih mudah

    Pada 31 Mac, Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah mengumumkan pengemaskinian syarat-syarat perjalanan keluar dan masuk negara melalui udara atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, berdasarkan penilaian risiko semasa dan kajian yang terperinci.

    Syarat-syarat baharu akan dilaksanakan mulai 1 April 2022 merangkumi beberapa perkara bagi individu yang membuat perjalanan masuk ke negara ini melalui udara, antaranya dibolehkan menjalani kuarantin di rumah-rumah kediaman persendirian atau di hotel-hotel penginapan.

    Bagi perjalanan keluar negara melalui udara, sama ada ke negara dalam senarai hijau atau sebaliknya, tidak lagi diperlukan membuat permohonan kebenaran perjalanan keluar negara dari JPM bagi rakyat dan penduduk yang telah mendapatkan dos ketiga vaksin COVID atau telah melengkapkan dua dos vaksinasi COVID dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh perjalanan.

    Sorotan peristiwa bulan April

    Pada 1 April 2022, sebanyak 199kg tongkeng ayam telah dirampas kerana dipercayai tiada memiliki Permit Import Halal dengan dua suspek disyaki terlibat dalam kes tersebut turut disiasat.

    Rampasan tersebut dilakukan dalam operasi serbuan yang dijalankan oleh para pegawai penguat kuasa Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah pada 29 Mac lalu di salah sebuah rumah dan kedai runcit kawasan Kampung Sungai Buloh, berikutan aduan orang ramai mengenai penjualan tongkeng ayam yang diragui kehalalannya melalui sosial media.

    Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah

    Pada 19 April, buat julung kalinya, Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah telah bergema di seluruh masjid utama di keempat-empat daerah.

    Berkenan berangkat menyerikan majlis penuh keberkatan anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM), KHEU dan Jabatan Mufti Kerajaan itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara. Turut berangkat ialah paduka-paduka anakanda Baginda.

    Majlis itu adalah salah satu usaha berterusan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti keagamaan ke arah mengamalkan vaksin ketuhanan bagi meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT dalam menghadapi apa jua bencana dan musibah termasuk situasi pandemik COVID.

    Mangsa diheret buaya ditemui

    Pada 20 April, satu kejadian mengerikan di mana mayat seorang remaja lelaki tempatan yang dipercayai diheret oleh buaya semasa merambat di kawasan Jalan Mulaut, Kampung Bebatik telah berjaya ditemui kira-kira pukul 9:45 malam.

    Mangsa dikatakan sedang merambat bersama tiga rakannya di kawasan tebing sungai itu semasa kejadian, namun rambat mangsa telah tersangkut. Mangsa kemudiannya turun ke dalam sungai namun hilang dan dipercayai diheret seekor buaya.

    Pada pukul 9:45 malam, anggota bomba dan penyelamat menerima maklumat daripada orang awam yang mana mangsa telah dijumpai di kawasan Lubok Sigurun lebih kurang 1.5 kilometer mengikut laluan sungai dari tempat kejadian.

    Lebih $90,000 wang zakat diserahkan

    Pada 25 April, sejumlah $90,401.85 wang zakat daripada Takaful Brunei Keluarga (TBK) dan Stesen Minyak Koperasi Persatuan TIBA (KOTIBA) telah diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang diadakan di KHEU, Jalan Dewan Majlis.

    Wang zakat yang diterima berkenaan diagihkan kepada asnaf zakat yang berhak di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda