Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Persidangan Pendakwa Raya China ASEAN ke-11 berakhir hari ini dengan perisytiharan bersama telah ditandatangani selepas ketua-ketua pendakwa berjaya merumuskan, meningkatkan dan memperkukuh langkah-langkah berhubung pembenterasan jenayah transnasional terutama jenayah siber.
Ini dilakukan melalui pelbagai langkah termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi domestik mereka masing-masing untuk menambah baik prosedur penyiasatan jenayah siber, pengendalian keterangan elektronik dan juga langkah melindungi kanak-kanak daripada keganasan seksual dalam talian dan untuk menilai keberkesanan langkah-langkah tersebut secara tetap.
Perisytiharan bersama itu ditandatangani oleh Peguam Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid; Ketua Pendakwa Supreme People’s Procuratorate Republik Rakyat China, Zhang Jun; Ketua Pendakwa Kerajaan Kemboja, Chea Leang; Wakil Jaksa Agung Republik Indonesia, Dr Arminsyah; Timbalan Supreme People’s Prosecutor Republik Demokratik Rakyat Laos, Xaysana Khotphouthone; Peguam Cara Negara II Malaysia, Datin Paduka Zauyah Be binti T. Loth Khan; Timbalan Peguam Negara Republik Kesatuan Myanmar, U Win Myint; Peguam Negara Republik Singapura, Lucien Wong, S.C; Ketua Inspektor Kerajaan Thailand, Nattachak Pattamsingh na Ayuthaya dan Timbalan Ketua Pendakwa Republik Sosialis Vietnam, Dr Tran Cong Phan pada majlis yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Dalam perisytiharan bersama itu, ketua-ketua delegasi pendakwa ASEAN dan China juga bersetuju untuk meningkatkan pengkhususan pendakwa dan mempertimbangkan penubuhan unit pendakwaan khusus atau, secara alternatif, suatu kumpulan pendakwa khusus untuk membimbing atau membantu pendakwa lain dalam kes-kes yang melibatkan jenayah siber dan keterangan elektronik di negara-negara mereka sendiri.

Mereka juga bersetuju untuk meneroka lebih lanjut inisiatif-inisiatif bagi mengukuhkan keupayaan pendakwa dalam menangani jenayah transnasional, termasuk pertukaran pendakwa-pendakwa, latihan pendakwa dan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang dan langkah-langkah memerangi ancaman jenayah siber dan keselamatan siber serta bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan serta sektor swasta di negara-negara mereka sendiri bagi memastikan tindak balas keadilan jenayah yang berkesan terhadap jenayah siber.
Di samping itu, ketua-ketua delegasi pendakwa juga bersetuju tentang keperluan menekankan kesedaran yang lebih tinggi mengenai jenayah siber dan risiko yang bersangkutan dengannya dan membuat komitmen untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan pemahaman yang lebih baik mengenai ancaman jenayah siber melalui pemberian maklumat awam, terutamanya kepada kanak-kanak dan generasi muda.
Sementara itu, pada majlis penutup persidangan di tempat yang sama, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni berkata, persidangan tahun ini yang membawa tema ‘Meningkatkan Keupayaan dan Kerjasama dalam ‘Menangani Jenayah Siber’ dianjurkan tepat pada masanya di mana ancaman jenayah siber mempunyai pelbagai dimensi, menyasarkan rakyat, perniagaan-perniagaan dan kerajaan-kerajaan pada kadar yang pantas berkembang.
Beliau menyatakan, persidangan seperti ini memberikan peluang penting bagi negara-negara untuk bersetuju dengan membuat langkah praktikal bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dan menunjukkan kerjasama serantau yang menyeluruh dan menekankan kepentingan bersama ASEAN dan China untuk membanteras jenayah siber.