ISTANBUL, 23 DIS – Sebuah periuk api laut ditemui terapung di luar pantai Laut Hitam Turkiye di timur laut Istanbul, lapor agensi berita negara Anadolu, berkata bahan letupan itu akan dimusnahkan, hari ini.
Peranti itu ditemui kelmarin di luar pantai Agva, kira-kira 50 kilometer ke bahagian timur di mana Selat Bosphorus memasuki Laut Hitam.
Sejak Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022, pihak yang bertelagah telah mengerahkan periuk api untuk melindungi pantai mereka tetapi ia sering dipindahkan akibat ribut.
Memandangkan ancaman kepada kedua-dua perkapalan komersil dan ketenteraan, anggota NATO Turkiye, Bulgaria dan Romania yang bersempadan dengan laut, telah menubuhkan Mine Countermeasures Naval Group (MCM Black Sea) untuk menyelia operasi periuk api, dan mula berfungsi pada 1 Julai.
Kementerian pertahanan Romania berkata bulan ini, sejumlah 107 periuk api terapung telah ditemui dan musnah sejak perang berlaku.
Naib Laksamana Tentera Laut Turkiye, Mustafa Kaya berkata kepada wartawan bulan lalu, lebih 400 periuk api baru-baru ini ditanam di Laut Hitam, manakala beberapa daripadanya telah hanyut. – AFP