NIBONG TEBAL – Menjelang sambutan Ponggal atau pesta menuai yang diraikan masyarakat India pada Sabtu depan, permintaan terhadap periuk atau belanga tanah liat sememangnya meningkat secara mendadak.
Ketika masyarakat Tamil sibuk membuat persediaan menyambut perayaan Ponggal, pengusaha produk tanah liat, D Reguraj, 48, berkata beliau perlu menyiapkan beribu-ribu periuk tanah liat dari kilangnya, K Devaraja Pottery, bagi memastikan bekalan yang cukup untuk perayaan itu.
Beliau berkata kilangnya telah mengeluarkan kira-kira 10,000 belanga tanah liat sempena perayaan Ponggal tahun ini dan permintaannya mungkin akan bertambah lagi.
“Berbanding dua tahun lepas, hanya dapat tempahan kurang daripada 5,000 periuk tanah liat berikutan wabak COVID-19 pada perayaan Ponggal, tahun ini permintaan dijangka akan meningkat mendadak,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di sempadan Parit Buntar, Nibong Tebal, di sini, baru-baru ini.
Proses pembuatan periuk tanah
Menurutnya proses pembuatan periuk tanah itu mengambil masa kira-kira 10 hari dan tanah liat yang digunakan diproses terlebih dahulu bagi memastikan tekstur tanah liat yang digunakan sekata warnanya dan bebas daripada benda asing.
Reguraj yang merupakan generasi kelima menjalankan perusahaan keluarganya sejak lebih 125 tahun itu menjelaskan bahawa proses menguli tanah liat memainkan peranan penting dalam menghasilkan periuk yang bermutu.
“Tanah liat diuli sebanyak empat kali menggunakan mesin khas bagi memastikan kualiti periuk yang baik, tahan lama dan permukaan yang licin. Jika tidak diuli secukupnya, periuk akan mudah merekah dan pecah.
“Sesudah itu periuk dibentuk sebelum dijemur, sebaiknya di bawah cahaya matahari terik untuk tempoh seminggu sebelum dibakar selama 12 jam dengan menggunakan ketuhar mesra alam,” katanya yang mula membantu keluarganya sejak berusia sembilan tahun.
Reguraj berkata permintaan sempena perayaan Ponggal tahun ini begitu memberangsangkan, kilangnya mula menghasilkan periuk untuk Ponggal tahun ini sejak Disember lepas untuk dipasarkan ke seluruh Malaysia.
“Pada musim perayaan Ponggal, pekerja akan bekerja selama 12 jam setiap hari untuk menyiapkan 300 periuk tanah liat sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Tambahnya, setiap periuk tanah liat dijual lingkungan RM5 hingga RM40 mengikut saiz dan corak periuk itu.
Perayaan tiga hari
Musim menuai merupakan upacara tradisional tanda terima kasih kepada alam semula jadi (matahari) dalam meraikan kitaran hidup yang memberi hasil tuaian dan ia disambut pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Tamil, yang jatuh pada Januari setiap tahun.
Perayaan Ponggal disambut selama tiga hari secara berbeza iaitu pada hari pertama disambut ‘Thai Ponggal’ yang diraikan bersama anggota keluarga dengan berkumpul di sekeliling periuk tanah untuk ‘menyaksikan’ susu yang dimasak melimpah daripada periuk tanah sebagai lambang kemakmuran dan kekayaan.
Sambutan pada hari kedua dikenali sebagai ‘Mattu Ponggal’ yang memberi tumpuan kepada haiwan yang dianggap suci iaitu lembu, yang dimandikan, diwarnakan tanduknya serta dihiasi dengan kalungan bunga.
Hari ketiga pula disambut ‘Kanni Ponggal’ yang memberi tumpuan kepada golongan anak dara dan mereka perlu memakai pakaian baharu dan barang kemas untuk upacara sembahyang khas agar mendapat suami yang baik. – Bernama