Perjalanan terakhir bekas presiden India diberi penghormatan ketenteraan

NEW DELHI, 2 SEPT – Perjalanan terakhir bekas presiden India Pranab Mukherjee diiringi dengan istiadat ketenteraan sebagai tanda penghormatan dan berlangsung di New Delhi kelmarin.

“Istiadat itu dilakukan dengan penuh penghormatan di krematorium Lodhi Road,” lapor agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai.

Bekas presiden berusia 84 tahun itu koma selepas menjalani pembedahan otak pada bulan lalu. Mendiang juga diuji positif COVID-19 dan meninggal dunia pada Isnin.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir antaranya Presiden India Ram Nath Kovind, Perdana Menteri Narendra Modi, Naib Presiden M. Venkaiah Naidu, Menteri Pertahanan Rajnath Singh, bekas perdana menteri Manmohan Singh dan beberapa ahli politik serta kenamaan yang lain.

“Penghormatan diberikan kepada Pranab Mukherjee. Beliau akan dikenang atas usahanya membawa kemajuan kepada India,” tulis Modi di Twitter.

Kerajaan turut mengisytiharkan India berkabung selama tujuh hari.

Mukherjee berkhidmat sebagai presiden ke-13 India dari 2012 hingga 2017 dan pernah dianugerahkan ‘Bharat Ratna’, penghargaan tertinggi dalam perkhidmatan awam negara. – Bernama