WASHINGTON, 27 Julai – Para pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Mexico semalam berkata mereka berhasrat untuk menamatkan perbincangan bagi merombak Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dengan secepat mungkin, bulan depan.
Langkah terbaharu itu menyusuli penamatan perseteruan perdagangan pada Rabu antara AS dan Kesatuan Eropah (EU), meningkatkan kemungkinan Presiden Donald Trump akan mengisytiharkan kejayaan ke atas dua barisan hadapan dalam serangan perdagangan globalnya.
AS, Mexico dan Kanada akan mencapai ‘beberapa bentuk keputusan pada pertemuan Ogos depan,” beritahu Perwakilan Perdagangan AS, Robert Lighthizer kepada jawatankuasa kecil Senat.
Katanya, “itu bukan jangka masa yang munasabah sekiranya semua orang mahu melakukannya,” dengan menambah, ia akan membenarkan Presiden Mexico Enrique Pena Nieto untuk menandatangani perjanjian baharu sebelum mengundurkan diri dari pucuk pimpinan pada 1 Disember depan.
“Itu adalah apa yang kami harapkan,” kata Lighthizer.

Menteri Ekonomi Mexico, Ildefonso Guajardo berada di Washington bagi menghadiri mesyuarat bersama Lighthizer, memberitahu pemberita bahawa kedua-dua belah pihak semakin menghampiri dan mempunyai ‘peluang terbuka’ untuk mencapai satu perjanjian hujung bulan Ogos depan.
Katanya, “Ia adalah jangkaan yang kami semua ada” dan komited terhadapnya, meskipun dia mengingatkan selepas mesyuarat: “Saya tidak boleh meramalkan keputusan akhirnya.”
Jesus Seade selaku penasihat kepada Presiden baharu Mexico Andres Manuel Lopez Obrador yang akan mengambil alih kuasa pada 1 Disember depan berkata, pertemuan itu “sangat cemerlang dan dia ‘berasa optimis’ mengenai mencapai perjanjian. – AFP